Header Ads

Taufan Conson melanda Vietnam, 3 hilang

HANOI: Tiga orang dilaporkan hilang di Vietnam sewaktu taufan Conson melanda negara itu, selepas mengorbankan 68 orang di Filipina, kata para pegawai semalam.

(Gambar: DIPUKUL BADAI; Ombak besar menggempur pantai Do Son beach di pelabuhan Hai Phong, utara Vietnam, Sabtu lalu, sewaktu Taufan Conson menghala ke utara Vietnam. -foto AP)

Seorang wanita hilang di utara Vietnam, manakala dua nelayan hilang di perairan dekat wilayah tengah, kata seorang pegawai di pusat bantuan bencana di Hanoi kepada AFP.

Taufan Conson melanda pantai Vietnam lewat kelmarin, tetapi kelajuan angin semakin reda, kata pegawai berkenaan.

"Namun ia masih menurunkan hujan di utara dan tengah negara ini. Kami belum dapat mentaksir jumlah kerosakan yang dialami," kata beliau, yang mengesahkan ribut merosakkan prasarana terutama kemudahan perbekalan air.

Beribu-ribu askar Vietnam sudah dikerah untuk memberi bantuan kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang terjejas teruk oleh ribut. Sejauh ini 30,000 penduduk sudah dipindahkan sebelum ribut melanda.

Taufan Conson melanda Filipina Selasa lalu, terutama di ibu kota Manila, sebelum ia menuju ke Laut China Selatan.

Para pekeraja penyelamat menarik tiga lagi mayat daripada laut semalam, menjadikan kesemuanya 68 orang yang terkorban akibat ribut tersebut di Filipina.

Selepas melanda Filipina, taufan Conson melewati Pulau Hainan di selatan China Jumaat lalu, sebelum melanda Vietnam.

Dua orang dilaporkan terkorban di China, apabila ribut itu menumbangkan pokok-pokok dan tiang elektrik.

Taufan itu turut merosakkan beberapa kapal Vietnam di Laut Chin Selatan, kata para pegawai. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.