Header Ads

Pesawat Boeing Dreamliner 787 tanpa juruterbang akan dipamerkan

Pesawat Dreamliner 787 Boeing akan muncul buat pertama kalinya pada Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2010 bulan ini di London.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Naib Presiden Kanan Komunikasi Boeing, Tom Downey berkata syarikat itu juga akan mempamerkan secara besar-besaran teknologi dan sistem canggih pesawat tanpa juruterbang.

"Kami memilih Farnborough sebagai tempat untuk menonjolkan kemampuan dan inovasi kedua-dua pesawat komersil dan perniagaan pertahanan, udara dan keselamatan kami.

"Kami mengharapkan suasana yang optimis tahun ini menerusi pertemuan para pemimpin industri ketika wujud tanda-tanda mengenai pemulihan ekonomi," kata beliau.

Katanya pesawat penerbangan ujian 787 itu, ZA003, akan mendarat di Farnborough pada pagi 18 Julai dan dipamerkan secara statik sehingga tengah hari 20 Julai.

"Lawatan berjadual akan diatur untuk melihat pesawat itu. Boeing menggunakan ZA003 untuk menguji dan mengesahkan antara lain keselamatan dan sistem keselesaan tempat duduk, galeri dan kabin kakitangan," katanya.

Downey berkata pameran Boeing pada pertunjukan itu akan memberi tumpuan terhadap sistem tanpa juruterbang, termasuk kemunculan antarabangsa buat pertama kalinya pesawat demonstrasi Phantom Ray, Hummingbird A160 dan Unmanned Little Bird yang telah dilancarkan baru-baru ini.

"Bagi pameran sistem tanpa juruterbang, lebih daripada sedozen produk, termasuk "Integrator" dan 'ScanEagle Compressed Carriage" akan dipertunjukkan.

"Semasa pertunjukan harian demonstrasi penerbangan, Boeing akan mengetengahkan kemampuan lanjut pertempuran, kepelbagaian peranan pesawat pejuang Super Hornet F/A-18E/F yang telah terbukti," katanya.

Beliau berkata syarikat itu dan para pelanggannya akan mempamerkan sistem- sistem yang lain, termasuk pertunjukan udara pertama platform kawalan dan amaran awal pesawat Peace Eagle 737 untuk Tentera Udara Turki.

"Pengunjung juga boleh melihat kapal pengangkut tentera C-17 Globemaster III, jet pejuang F-15E Eagle dan helikopter penyerang AH-64D Apache Longbow.

"Qatar Airways juga akan mempamerkan Boeing 777-300ER terbaharunya," kata beliau.

Downey berkata Boeing akan mengadakan siri taklimat media sepanjang pertunjukan itu.

"Wakil media boleh menyemak jadual taklimat harian di Pusat Media dan chalet Boeing untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Syarikat akan mengemaskini berita dan maklumat untuk media dan orang ramai menerusi www.boeing.com/farnborough2010 mulai 15 Julai selain Twitter: @BoeingAirplanes, @BoeingDefense dan @BoeingCorporate," katanya. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.