PAS Melaka cabar Ali Rustam beri penjelasan berkaitan 'melancong' ke Amerika Latin
Kerajaan Melaka di bawah pemerintah Datuk Seri Ali Rustam perlu membentangkan hasil dari lawatan seramai 28 orang delegasi termasuk Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wira Ismail Saleh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, Koh Nai Kwong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Dato' Zaini Md Nor dan pegawai kanan kerajaan negeri Amerika Latin serta Perancis pada 13 sehingga 26 Jun lalu.Penjelasan itu perlu kerana terdapat dakwaan menyatakan bahawa lawatan tersebut bukannya lawatan rasmi sebaliknya ia adalah program percutian Ketua Menteri semata-mata.
Menurut Ketua Penerangan PAS Melaka, Saudara Sofi Wahab, "Lawatan selama dua minggu tersebut dilihat tidak memberikan impak yang jelas terhadap ekonomi negeri malah ianya dilihat seolah-olah membazirkan wang rakyat di saat rakyat terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup berikutan harga barangan harian yang semakin naik.
"Rakyat berhak mengetahui apa sebenarnya tujuan Ali Rustam melawat Amerika Latin serta Perancis malahan apa pula hasilnya kepada negeri dan rakyat," soal beliau lagi.
"Kita tidak mahu pimpinan kita membazirkan duit rakyat tanpa sebab dan justifikasi yang jelas, jangan pulak Ali Rustam cuba meniru Pak Lah yang sehingga kini sudah membuat 22 lawatan pada tahun 2004, 25 pada tahun 2005, 20 tahun 2006 dan 16 sehingga kini untuk tahun 2007, " kata Sofi
Lawatan atau melancong?
Lawatan yang bermula dari 13 sehingga 26 Jun lalu itu meliputi bandar- bandar utama di Amerika Latin seperti Buenos Aires, Argentina, Valparaiso, Chile, Havana, Cuba, Caracas, Venezuela dan akhir sekali Paris di Perancis.
Sebelum itu,Ali Rustam bersama 15 delegasi yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wira Ismail Saleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja- Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Dato' Hamdin Abdollah dan Datuk Bandar, Dato' Zaini Md Nor telah melawat Lijiang, China selama 4 hari, pada 20 April lalu.
Ali Rustam dan pimpinan Kerajaan Negeri Melaka juga lebih kerap dilihat melakukan lawatan ke Tanjung Pinang, Riau dan Dumai di Pulau Sumatera, Indonesia sehinggakan pernah beliau dimasukkan ke Hospital sebaik sahaja pulang dari sana.
Dan yang terbaru beliau mengumumkan Kerajaan Negeri akan menghantar tiga pegawai kanannya membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wira Ismail Salleh; Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan bahagian pembangunan negeri ke Paris, Perancis Ogos ini bagi mengkaji apa yang perlu dilakukannya sebelum diisytihar negeri maju menjelang 2010.
Post a Comment