Mayat bayi baru dilahirkan empat hari dijumpai polis di kawasan semak
JOHOR BAHRU: Polis menemui mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan empat hari lalu di kawasan semak di Kampung Teluk Sri Serdang Pinggir, di sini, semalam.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya menemui mayat bayi yang cukup sifat itu di dalam beg plastik hasil daripada maklumat orang awam sekitar jam 3.15 petang.
Menurutnya, bayi lelaki itu dipercayai dibuang selepas dilahirkan, malah pihak polis sudah menahan dua wanita warga asing di sebuah rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
“Kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun ini ditahan kerana salah seorang daripadanya dipercayai ibu kepada bayi berkenaan.
“Mayat bayi ini dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Difahamkan, kedua-dua wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sementara itu, seorang penduduk, Zainal Madon, 57, mengakui jarang bertemu dengan salah seorang suspek kira-kira dua bulan lalu.
“Saya bersama dengan penduduk lain tidak tahu pula salah seorang daripada mereka mengandung dan melahirkan bayi kerana jarang bertemu dengan mereka.
“Tiba-tiba sahaja, buat pertama kali kampung ini digemparkan dengan kejadian tidak bertanggungjawab.
“Amat memalukan apabila kejadian pembuangan bayi dilakukan oleh warga asing ini sudah mencemar nama baik kampung ini,” katanya.
Justeru, katanya, pihak berkuasa diharapkan dapat berbuat sesuatu ke atas penghijrahan warga asing yang agak ramai di kampung berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian sama pada masa akan datang. -Sinar Harian
Post a Comment