Google kembali beroperasi di China
BEIJING: China mengesahkan ia telah memperbaharui lesen operasi Google, sebulan selepas pertikaian mengenai penapisan Internet.Beijing berkata Google berjanji tidak akan menyiarkan 'kandungan melanggar undang-undang'.
Seorang pegawai Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat mengesahkan lesen Beijing Guxiang Information Technology Co Ltd, yang mengendalikan laman web Google di China, telah diperbaharui bagi setahun lagi, lapor agensi berita Xinhua Ahad lalu.
"Selepas membuat penilaian, kami memutuskan Guxiang telah memenuhi keperluan asas," kata seorang pegawai kementerian.
Laman web kementerian itu, yang mengawal Internet di China, menyenaraikan Guxiang Ahad lalu sebagai antara 200 syarikat yang lesennya diperbaharui sehingga 2012.
"Kami amat gembira kerana pemerintah China telah memperbaharui lesen kami. Kami berharap dapat terus menyediakan carian web dan produk setempat kepada pelanggan kami di China," kata ketua pegawai guaman Google, David Drummond, yang ditukil China Daily.
Google, yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, berkata Jumaat lalu ia menerima kebenaran beroperasi di China selepas akur akan berhenti melencongkan pengguna Google.cn ke laman di Hongkong, yang tidak tertakluk pada penapisan dalam talian oleh China.
Permohonan carian di Google.cn dari China kini memerlukan satu klik tambahan yang akan membawa pengguna ke tapak di Hongkong.
Tolak ansur Google itu dilakukan sedang ia cuba menegakkan prinsip antipenapisan tetapi tetap melindungi kepentingan ekonominya. Google mahu terus berada di China kerana pasaran iklan dalam talian berpotensi tumbuh setinggi AS$15 bilion ($20.7 bilion) hingga AS$20 bilion setahun dalam masa beberapa tahun saja.
China pula menyedari kehilangan sebuah industri gergasi seperti Google akan menghambat inovasi.
Pembaharuan lesen Google juga dapat meredakan pertikaian sedang syarikat Amerika dan Eropah berkata China kini kurang menggalakkan bagi menjalankan urus niaga. -AP
Post a Comment