Malaysia juara Sukan Sekolah Asean 2010
KONTINJEN negara merampas takhta kejuaraan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) daripada Thailand setelah mengumpul 45 emas pada kejohanan yang berakhir semalam.Ketua kontinjen, Marina Chin berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama dan kerja keras semua pihak termasuk atlet, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan.
Walaupun gagal mencapai sasaran 50 emas, beliau tetap berpuas hati dengan kejayaan negara merangkul gelaran johan keseluruhan ASG yang memasuki edisi kedua tahun ini.
"Saya amat terharu. Semua pihak yang terlibat telah memberi usaha 110 peratus dan bagi atlet, mereka telah membanggakan negara," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan pingat kepada pemenang bagi acara 4x400m wanita dan lelaki serta pemenang acara individu gimrama bagi kategori aparatus bola dan riben di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
"Bagaimanapun, kita akan adakan post-mortem untuk melihat apa yang boleh kita perbaiki supaya kita boleh bersedia awal untuk ASG tahun depan," kata Marina.
Dalam acara 4x400m lelaki itu, atlet negara yang terdiri daripada Schzuan Rosely, Amir Fakhri Ismail, Baihaqi Mohamed Razlan dan Fairool Nazrin turut mencatat rekod baru kejohanan iaitu 14.60s, mengatasi rekod lama 18.6s yang dicatat pasukan Thailand tahun lepas.Atlet olahraga negara juga menyumbang emas menerusi acara baling tukul besi wanita yang dimenangi Casier Renee Kelly Lee, 100m lari berpagar wanita oleh Nur Fazlinda Shafiei dan 2000m lari berhalangan lelaki yang dimenangi Ahmad Luth Hamizan.
Di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras pula, pemain badminton perseorangan negara merangkul empat daripada lima pingat emas yang dipertandingkan.
Perenang negara turut cemerlang dengan memungut empat emas di Pusat Akuatik Shah Alam manakala gimnas, Elain Koon terus mengungguli acara gimrama apabila membawa pulang emas bagi acara aparatus tali, gelung rotan, bola dan riben.
Gimnastik, hoki, bola jaring dan bola keranjang masing-masing menyumbang satu emas. -Kosmo!
Post a Comment