Header Ads

Felda juara Liga Perdana musim 2010

Felda United berjaya mengetepikan saingan terdekat Selangor PKNS untuk menjuarai Liga Perdana setelah menumpaskan Harimau Muda 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka, malam Jumaat (16 Julai).

Kemenangan tipis itu membolehkan Felda United mengumpul 49 mata sekaligus meranapkan hasrat Selangor PKNS walaupun kelab tersebut berjaya menumpaskan Shahzan Muda 8-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang.

Felda United hanya mempunyai baki satu lagi perlawanan pada musim ini.

Jaringan kemenangan Felda United hadir pada babak kedua melalui sepakan penalti Mohd Munir Amran pada minit ke-65.

Sementara itu, Selangor PKNS yang menduduki tangga kedua liga dengan 45 mata, perlu menumpaskan Harimau Muda pada pertemuan 23 Julai ini untuk merebut gelaran naib juara.

Gol Selangor PKNS pada malam ini dijaringkan oleh Mohd Azrif Nasrulhaq (minit ke-25, 45 dan 73), Mohd Fauzi Abdul Kadir (minit ke-46)(OG), Mohammad Zamri Hassan (50), Tengku Adam Tengku Mohd Rosly (56, 68) dan Mohd Airulridzuan Radzali pada minit ke-60.

Sabah turut berpesta gol setelah berjaya membelasah Melaka 8-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Kemenangan besar turut diperolehi oleh Pasukan Pos Malaysia yang membelasah MP Muar 6-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bharu.

Di Stadium Sarawak pula, pasukan tuah rumah berjaya menumpaskan pasukan pelawat USM Pulau Pinang 4-2.

Tentera mencatat kemenangan setelah berjaya tumpaskan Polis 3-2 di Stadium Majlis Pembandaran Selayang. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.