Header Ads

Final Piala Dunia 2010: 50-50 buat Sepanyol dan Belanda

Pusingan akhir FIFA Piala Dunia yang pertama kali berlangsung di bumi Afrika bakal terciptanya sejarah baru dalam perlawanan akhir antara pasukan Belanda yang belum pernah menjuarai Piala Dunia dan Sepanyol yang pertama kali layak ke final.

Sejarah baru bakal tercatat pada 12 Julai nanti di Stadium Soccer City apabila antara dua pasukan terbaik dunia itu, satu pasukan akan dinobatkan sebagai juara dunia dan akan terpahat satu nama baru pada Piala Dunia.

Belanda tempah tiket ke final selepas berjaya menjinakkan juara dunia dua kali, Uruguay 3-2 di Stadium Green Point, Cape Town. Belanda akan bertemu satu lagi pasukan yang berjaya melangkah ke final, Sepanyol yang mencipta sejarah pertama kali layak ke final dengan kemenangan 1-0 ke atas juara tiga kali, Jerman di Stadium Durban.

Kedua-dua pasukan akan berentap untuk dinobatkan sebagai juara baru FIFA 2010 di Stadium Soccer City, Johannesburg.


Perlawanan akhir kali ini dikuasai sepenuhnya oleh pasukan dari Eropah dan Sepanyol mempunyai sedikit kelebihan sebagai juara Eropah 2008. Namun begitu, Sepanyol belum boleh mendabik dada untuk bergelar juara apabila prestasi yang ditunjukkan pasukan lawannya yang diberi jolokan Oranje itu kelihatan berada pada tahap yang memberangsangkan.

Belanda dilihat juga mempunyai peluang sama rata apabila menjadi pasukan yang tidak pernah kalah dalam 25 perlawanan dan menjadi pasukan kedua selepas Brazil yang tidak pernah kalah dalam setiap perlawanan ke peringkat akhir. Brazil adalah pasukan pertama yang menang kesemua perlawanan ke peringkat akhir ketika di Mexico pada Piala Dunia 1970.

Namun begitu, Sepanyol juga menjadi tentangan sengit buat Belanda kerana statusnya sebagai juara Eropah 2008 dan disokong oleh reputasi mereka yang berjaya menewaskan pasukan juara tiga kali, Jerman yang pernah membelasah pasukan elit, England dan Argentina dalam aksi Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

Walaupun masing-masing mempunyai kelebihan, perlawanan akhir 12 Julai nanti akan menjanjikan satu perlawanan hebat antara kedua-dua pasukan dan bakal memberi kejutan buat kedua-dua pasukan yang memburu kejuaraan untuk dinobatkan pasuakn terbaik dunia buat pertama kali FIFA Piala Dunia.
Dikuasakan oleh Blogger.