Apple Inc mengaku tambah isyarat bar antena palsu tutup kelemahan iPhone
PERNAHKAH anda keliru mengapa perbualan telefon anda menerusi iPhone tersekat-sekat walaupun tanda bar isyarat (signal bar) menunjukkan kuasa hubungan penuh?Jawapannya didedahkan Apple Inc dan ia bukannya angkara antena yang rosak.
Minggu lalu, syarikat itu mengaku bahawa ia menambah secara palsu bar isyarat untuk menyembunyikan mutu isyarat yang rendah.
Apple mendedahkan kekurangan memalukan ini dalam satu surat terbuka kepada pengguna iPhone yang mengadu mengalami mutu bunyi kurang memuaskan apabila menggunakan iPhone 4 yang terbaru.
Masalah ini wujud sejak versi pertama iPhone dilancarkan tiga tahun lalu, kata Apple.
“Selepas menyiasat, kami terkejut mendapati bahawa formula yang kami gunakan untuk menentukan kekuatan isyarat dan jumlah bar isyarat yang ditayangkan adalah salah keseluruhannya,” kata pihak Apple.
Dalam kebanyakan kes, telefon-telefon yang terjejas menayangkan lebih dua lagi bar isyarat daripada yang sepatutnya. Ini bermakna, pemilik iPhone yang mengalami kejatuhan drastik dalam jumlah bar isyarat mengalami mutu perhubungan yang memang rendah dari asal.
“Saya masih terkejut mengapa Apple memerlukan (mengadakan) iPhone generasi 4 apabila menyedari masalah ini,” ujar seorang juruanalisis di ISuppli Corp.
“Mereka tidak memberikan pengguna jawapan yang memuaskan. Ia masih menunjukkan bahawa mutu hubungan berkaitan dengan cara anda memegang iPhone,” katanya.
Sesungguhnya, sejumlah pemilik awal iPhone 4 mengadu bahawa mereka mengalami mutu perhubungan yang berbeza-beza apabila mengubah cara mereka memegang telefon pintar mereka.Menurut Apple, isu isyarat lemah ini hanya timbul apabila tangan si pengguna 'menutup' jaluran hitam di penjuru kiri di bahagian bawah telefon bimbit itu, di mana antenanya dipasangkan. Masalah ini boleh diselesaikan jika pengguna menyarungkan iPhone dengan sarung getah atau plastik.
Pengakuan Apple ini mendorong sebuah syarikat guaman yang mengaku mewakili pengguna iPhone memfail tuntutan mahkamah baru-baru ini, untuk memohon ganti rugi berupa wang untuk 'nilai telefon yang telah berkurangan'. Ia juga mendesak Apple memberikan pengguna iPhone sarung telefon percuma.
Buat masa ini, Apple mengumumkan bahawa ia akan kembali ke makmal dan melakukan ujian lanjut untuk mengenal pasti punca masalah ini.
Katanya, telefon pintar biasanya mengalami kejatuhan mutu isyarat bergantung dengan cara ia dipegang, namun tidak sehingga tahap yang dialami pengguna iPhone.
Ia juga akan mengeluarkan software yang dikemas kini (software update) untuk semua generasi iPhone dalam masa beberapa minggu yang akan datang.
Antara lain, software terbaru itu akan mengubah saiz bar isyarat yang ditayangkan di skrin iPhone, walaupun ia dipercayai tidak akan dapat menyelesaikan masalah isyarat hubungan yang lemah.
Namun begitu, penjualan iPhone tetap laris. Menurut Apple, ia mencatatkan rekod penjualan baru selepas menjual 1.7 juta unit iPhone dalam tiga hari, mengatasi rekod penjualan satu juta unit dalam tempoh masa yang sama. -Los Angeles Times
Post a Comment