Lesen judi bola sepak: Umno Johor dan Kedah lawan 'tokey'?
Badan Perhubungan Umno Kedah mendesak kerajaan supaya tidak menyambung pemberian lesen menjalankan operasi pertaruhan judi bola sepak di negara ini."Tindakan menyambung lesen perjudian itu hanya memberi kesan negatif terhadap institusi keluarga, masyarakat dan rakyat secara keseluruhannya," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
Dipetik Bernama, beliau berkata, kerajaan hendaklah meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil pendirian yang tegas mencegah orang Islam daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Alor Star.
Sebelum ini (Ahad lalu), Umno Johor juga menolak sebarang pertaruhan dalam bidang sukan termasuk bola sepak.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman berkata pendirian itu berdasarkan kepada reaksi diterima daripada seluruh masyarakat di negeri ini.
"Kita (Umno Johor) mendapat satu reaksi yang jelas daripada masyarakat di negeri ini untuk tidak menerima sebarang bentuk pertaruhan dalam sukan.
"Masyarakat melihat satu bentuk perjudian berlaku dan saya percaya pihak yang terlibat dalam perkara ini dapat mendengar suara rakyat tentang perkara itu," katanya.
Abdul Ghani, yang juga Menteri Besar Johor, berkata beliau akan mengemukakan penolakan pertaruhan itu kepada peringkat tertinggi dalam masa terdekat ini.
Kerajaan sebelum ini bercadang mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, pemimpin Umno Kedah yang mempunyai banyak kerenah dan tidak menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan baik akan dikenakan tindakan kerana sikap mereka menyebabkan pembangkang semakin kuat di negeri ini.
Ahmad Bashah berkata jika terdapat pemimpin yang hanya mementingkan diri tanpa menjalankan tugas dengan dedikasi, maka kredibiliti Umno akan terjejas.
"Saya tahu ada sesetengah pemimpin bawahan sering mempersoalkan macam-macam perkara sedangkan dia sendiri tidak menggerakkan ahli-ahli di bawahnya bagi melaksanakan sesuatu program yang telah dirancang.
"Kita akan membuat laporan kepada ibu pejabat supaya mereka mengambil tindakan kepada pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.
Tanpa menamakan pemimpin terbabit, beliau berkata perkara seperti itu tidak harus berlaku jika mahu melihat Umno terus kuat.
"Jika perkara itu tidak dibendung, ia akan melemahkan Umno dan memberi peluang kepada pembangkang untuk terus bertapak di Kedah hanya kerana kelemahan pemimpin Umno. Kita tidak mahu perkara itu berlaku," katanya.
Ahmad Bashah berkata anggota Umno akan teraniaya jika mempunyai pemimpin seperti itu dan Umno akan mengetepikan ketua yang bersikap pentingkan diri tanpa memikirkan kepercayaan yang telah diberikan oleh anggota-anggotanya.
Beliau berkata Umno perlu bergerak dalam satu pasukan jika mahu mengambil semula pentadbiran negeri Kedah pada pilihan raya akan datang.
"Ketepikan perkara-perkara remeh dan bekerjasama dalam pasukan bagi memastikan jentera Umno kukuh dan kuat," katanya. -the malaysian insider
WarkahDaily - Memang betullah cakap-cakap di luar sana, yang Umno ni sedang berkecamuk, berlaku pergeseran dan berhadapan krisis kepercayaan sesama sendiri.
Keputusan tidak popular Najib meluluskan lesen perjudian bola sepak Piala Dunia telah menyebabkan ramai ahli Umno berasa kurang senang dan 'panas punggung' untuk berhadapan dengan orang Melayu yang beragama Islam.
Mahu tidak mahu, Umno terpaksa juga berhadapan dengan penyokong mereka dari kalangan kaum Melayu. Maka itulah sebabnya, Umno Johor dan Kedah telah mula lawan 'tokey' dalam hal ini.
Tapi, apakah 'lawan tokey' itu betul-betul kerana tidak suka dengan tindakan Najib meluluskan lesen judi atau kerana menjaga hati orang Melayu semata-mata (kepentingan politik murahan)?
Post a Comment