Header Ads

SPNB siapkan 77 projek rumah terbengkalai

SEREMBAN, 11 Mei: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sehingga ini, telah menyiapkan 77 projek yang melibatkan 24,326 unit rumah terbengkalai di seluruh negara yang melibatkan kos pembangunan RM480 juta.

Pengerusi SPNB Datuk Idris Haron berkata 11,081 unit rumah di 23 projek telah dibaik pulih SPNB dengan bantuan kewangan yang melibatkan kawasan 191.16 hektar manakala melalui khidmat nasihat sebanyak 54 projek dibaik pulih dengan melibatkan 13,245 unit rumah.

"SPNB sedang membaik pulih 11 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 2009 yang melibatkan 3,713 unit rumah dengan kos pemulihan RM381 juta manakala kesemua projek ini membabitkan keluasan tanah seluas 199.26 hektar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah program pemulihan perumahan terbengkalai Taman Pelangi di sini Selasa.

Di Negeri Sembilan sahaja, katanya SPNB telah membaik pulih sembilan projek dan antaranya adalah Taman Senawang Jaya dan Taman Seri Bayu.

Selain itu, katanya SPNB turut membina projek perumahan di bawah program rumah mampu milik di mana 9,046 unit rumah telah dibina melibatkan 143.37 hektar.

Di Negeri Sembilan, tiga projek melibatkan 1,717 unit telah dilaksanakan di bawah program tersebut.

Sementara itu, katanya bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, ia menerima respons yang amat menggalakkan.

Sejak program itu diperkenalkan pada 2001, SPNB telah menerima 42,148 permohonan dan setakat ini, telah membina 14,568 unit pada nilai RM840 juta.

"Melalui skim ini, pemohon hanya perlu membayar RM150 sebulan selama 26 tahun. SPNB tetap terus komited dalam meneruskan agenda perumahan negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik berharga RM100,000 ke bawah," katanya.

Projek Taman Pelangi telah terbengkalai sejak 1990 dan diambil alih oleh SPNB untuk dibaik pulih pada 2007 melibatkan kos RM10 juta.

Projek berkeluasan 11.496 hektar ini melibatkan 257 unit rumah teres satu tingkat kos rendah (berharga RM25,000-RM35,000) dan rumah teres satu tingkat kos sederhana (berharga RM44,000-RM63,000) yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua biliik air. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.