Header Ads

Sogokan untuk dapatkan kelulusan lesen begitu berleluasa - SPRM

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pemberian sogokan oleh golongan ahli perniagaan kepada pegawai kerajaan untuk membantu dalam meluluskan lesen "agak berleluasa".

Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan statistiknya.

"Kami menerima aduan daripada ahli perniagaan mengenai perlu memberikan sejumlah wang bagi memastikan semuanya beres. Dan jika laporan mendedahkan wujud amalan rasuah, kami akan menyiasat," katanya kepada pemebrita di sini.

Sutinah adalah seorang daripada delegasi 11 anggota SPRM yang diketuai Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed menghadiri mesyuarat tertutup dengan pemimpin Dewan Perdagangan dan Perindustri Cina Bersekutu (ACCCIM). Delegasi ACCCIM diketuai presidennya Tan Sri William Cheng.

Katanya kebanyakan aduan sogokan yang diterima melibatkan golongan ahli perniagaan dan pegawai agensi-agensi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya SPRM tidak menerima sebarang aduan melibatkan pelabur asing.

Beliau berkata dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, kerajaan telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa perkhidmatannya termasuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menyediakan pusat sehenti untuk membantu pelabur menjalankan perniagaan di sini.

"Dan kami akan terus memerangi rasuah untuk memastikan Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang bebas rasuah. Kami mahu memberitahu pelabur bahawa tiada sebarang kos tambahan untuk menjalankan perniagaan di sini.

"Terdapat kejadian di mana orang perlu membayar kos tambahan untuk menjalankan perniagaan. Kami tidak mahu perkara sebegitu berlaku, iaitu mereka perlu membayar lebih daripada apa yang ditetapkan dalam peraturan dan syarat," katanya.

Beliau menegaskan "sogokan di kalangan sektor swasta juga merupakan kesalahan dan patut dilaporkan".

Sutinah berkata SPRM juga sudah mula mengambil tindakan terhadap pemberi rasuah.

Mengenai mesyuarat itu, Sutinah berkata SPRM dan ACCCIM bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas dalam masa terdekat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli perniagaan mengenai amalan rasuah.

Katanya selain ACCCIM, SPRM juga bekerjasama dengan Hua Zong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) untuk memerangi rasuah. -Bernama

WarkahDaily - Dah jadi amalan kebiasaan di Malaysia, kalau hendakkan sesuatu, perlu hulurkan 'suapan' dahulu, baharulah dapat.

Yang didedahkan SPRM, ahli perniagaan perlu 'menyuap' pegawai kerajaan berkaitan untuk dapatkan kelulusan lesen. Tapi bagaimana pula dengan kontraktor yang ingin dapatkan tender projek mega (besar) daripada kerajaan. Apakah ianya benar-benar telus?

Seperti contoh, Stadium di Terengganu, bagaimana ianya dikendalikan.
Dikuasakan oleh Blogger.