Senator dikecam kerana kahwini gadis bawah umur
ABUJA, Nigeria: Seorang senator Nigeria, Ahmed Sani Yerima yang dikecam kerana mengahwini seorang gadis Mesir berusia 13 tahun, kelmarin disoal para pegawai penyiasat.Pegawai penyiasat Agensi Kebangsaan bagi Pencegahan Pemerdagangan Manusia dan Perkara Berkaitan (Naptip) menyoal Senator Yerima selama dua jam berhubung perkahwinan beliau, kata Naptip dalam satu kenyataan.
"Senator itu berkata beliau tidak melanggar mana-mana aspek perlembagaan Nigeria.
"Beliau mengesahkan perkahwinan itu berlangsung seperti yang dilaporkan dan akad nikah dilakukan imam besar Masjid Negara di Abuja," kata kenyataan berkenaan.
Senator Yerima berkata, "Perlembagaan menjamin kebebasan beragama dan agama saya membenarkan saya berbuat begitu".
Senator Yerima, 49 tahun, menyerahkan satu afidavit perkahwinan daripada Mahkamah Rayuan Syariah di Abuja dan memberitahu pegawai penyiasat bahawa gadis itu sedang menuntut di sebuah sekolah menengah di Mesir.
Senator Yerima, yang dibenarkan ikat jamin sehingga 7 Jun ini, berkata Akta Hak Asasi Kanak-Kanak Nigeria 2003 'tersilap diluluskan'.
Akta itu melarang perkahwinan dengan gadis di bawah usia 18 tahun. Beliau dan pemerintahnya menolak akta itu sewaktu menjadi gabenor Zamfara antara 1999 dan 2007, kata kenyataan itu lagi.
Minggu lepas, Senator Yerima mewajarkan tindakannya dengan berkata beliau mengikut contoh Nabi Muhammad saw yang mengahwini Sayyidatina Aisyah ketika beliau berusia sembilan tahun.
Senator Yerima menjadi gabenor Zamfara apabila ia menjadi wilayah pertama daripada 12 wilayah yang dikuasai penduduk Islam di utara Nigeria memperkenalkan Hukum Syariah pada 2000.
Dewan Senat Nigeria mengarahkan siasatan selepas badan pemantau hak asasi dan 10 kumpulan lain menuduh Senator Yerima memalukan negara.
Laporan media mendakwa Senator Yerima memberi mas kahwin sebesar AS$100,000 (RM320,670) untuk menikahi gadis itu.
Beliau boleh dihukum denda 500,000 naira (RM10,638) atau lima tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, kata jurucakap Naptip, Orakwue Arinze. -AFP
Post a Comment