Header Ads

Samsung perkenalkan kamera digital yang dilengkapi dua skrin

DALAM usaha memenuhi kehendak pengguna yang umumnya gemar mengambil gambar sendiri, Samsung Malaysia Elektronics Sdn Bhd memperkenalkan kamera digital yang dilengkapi dua skrin iaitu skrin utama di bahagian belakang dan skrin sokongan di depan kamera.

Kamera ST550 dan ST500 adalah antara 10 produk kamera digital Samsung yang diperkenalkan di bawah jenama 2View untuk pasaran Malaysia, awal bulan ini.

(Gambar kanan: Samsung ST550, RM 1,249)

Pelancaran itu bagi mencapai misi mengukuhkan penguasaan pasaran kamera digital syarikat itu selepas mendapat sambutan memberangsangkan ssemasa pelancarannya di New York, Amerika Syarikat, bulan lalu.

Kedua-dua kamera yang bersaiz kompak ini dilengkapi dua skrin LCD sesentuh iaitu 1.5 inci bagi skrin depan manakala skrin belakang bersaiz 3.5 inci, dengan resolusi 1,152K bagi ST550 untuk paparan lebih jelas berbanding LCD kamera konvensional lain.

Kamera dengan 12.2 megapiksel ini menggunakan lensa Schneider-Kreuznach yang berkeluasan sudut bukaan lensa 27 milimeter (mm) dan mempunyai zoom optikal sehingga 4.6 x bagi membolehkan pengguna merakam imej yang lebih luas, khususnya untuk jarak dekat.

(Gambar kiri: Samsung ST500, RM 999)

Samsung turut memperkenalkan kawalan paparan telefon yang unik menerusi sistem Smart Gesture User Interface (UI) yang dilengkapi keupayaan pengesan gravitinya untuk keselesaan pengguna mengubah antara mukanya dengan hanya ´menggoncang´ kamera berkenaan.

Sementara itu, ST1000 menawarkan keupayaan geo-penanda untuk membolehkan pengguna menyimpan rekod kawasan lawatan yang dirakam, di samping keupayaan sambungan WiFi dan DLNA untuk capaian terus ke internet tidak kira di mana saja kawasan yang menawarkan perkhidmatan sambungan internet.

Kamera 10.2 mega piksel model PL51 amat bersesuaian untuk pengguna yang mahukan keperluan yang standard kamera digital pada harga berpatutan dengan zoom optikal 3x, Penstabil Imej Digital (DIS), sistem pintar bagi skrin LCD 2.7 inci manakala PL55 menawarkan pilihan keupayaan lebih tinggi dengan zoom 3x pada CCD 12.2 piksel.

Mod rakaman AutoSmart PL70 pula agak berbeza dengan memberikan pilihan sehingga 11 mod suasana kamera secara automatik untuk kejelasan imej yang optimum, selain berupaya mengenal pasti keutamaan untuk fokus bagi memberikan pendedahan yang lebih kepada zon yang ditentukan pengguna.

(Gambar kanan: Samsung PL51, RM 549)

Tanpa mengetepikan kumpulan pengguna yang tidak mempunyai bajet besar untuk memiliki kamera, Samsung memperkenalkan kamera pada harga serendah RM399, lengkap dengan spesifikasi penuh kamera digital 12.2 megapikselnya seperti keupayaan zoom 3x, DIS dan skrin LCD pintar 2.5 inci.

Turut diperkenalkan pada majlis pelancaran 2View di Kuala Lumpur, baru-baru ini ialah model kamera 12.5 mega piksel, WB5000 yang dilengkapi lensa paling berkuasa bagi kamera kompak Samsung iaitu 24x zoom.

(Gambar kanan: Samsung ST1000, RM 1,499)

Satu lagi model yang dilancarkan ialah WB1000 dengan lensa Schneider 24mm berkeupayaan 5x zoom optikal dan kamera digital ES60.

Sumber: http://gadgets.emedia.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.