Rakan Aminulrasyid pertikai tuduhan polis berkaitan insiden tembakan
SHAH ALAM: Allahyarham Aminulrasyid Amzah (Gambar), 15 tahun, tidak merempuh kereta peronda dengan kereta milik kakaknya, tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu itu, kata rakannya pelajar itu, Azamuddin Omar, 15 tahun, satu-satunya penumpang dalam kereta itu, semalam.Azamuddin juga memberitahu satu sidang media, yang diadakan oleh keluarga Allahyarham dan para peguam mereka, bahawa temannya itu cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.
Selepas rakannya itu ditembak, Azamuddin berkata dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta. Namun, dia berjaya melarikan diri, katanya.
"Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak", jelas Azamuddin, seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider dan Malaysiakini semalam.
Menurut Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta itu sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.
Katanya, dia merangkak keluar daripada kereta itu dan menyerah diri, tetapi sebaliknya dia ditendang di kepala dan diserang sekurang-kurangnya lima anggota polis.
Dia berkata Allahyarham mengajaknya dengan kereta, untuk menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam, tengah malam Isnin lalu. Sewaktu pulang, mereka tergesel sebuah kereta lain dan memecut untuk melarikan diri kerana panik.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Kamaruddin Hassan, mahu satu siasatan diraja diadakan bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil.
Post a Comment