Header Ads

Nistelrooy diketepikan daripada skuad Piala Dunia Belanda ke Afrika Selatan

AMSTERDAM: Nampaknya hasrat Ruud van Nistelrooy untuk bermain dalam Piala Dunia di Afrika Selatan Jun ini tidak kesampaian apabila beliau diketepikan daripada skuad Belanda seramai 26 pemain kelmarin.

Van Nistelrooy (Gambar), 33 tahun, bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Euro 2008 tetapi berharap untuk mendapat tempat dalam skuad pimpinan jurulatih Bert van Marwijk selepas melahirkan kesediaannya untuk dipilih semula.

Malah, pemindahannya dari Real Madrid ke SV Hamburg Januari lalu dipercayai sebagai usaha mendapatkan peluang bermain dengan tetap dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol bagi menarik perhatian Van Marwijk agar mengubah fikirannya.

Empat gol dalam 10 penampilan, termasuk satu sebagai pemain gantian ketika Hamburg menundukkan Burnberg 4-0 hujung minggu lalu, jelas tidak memadai bagi memikat bekas jurulatih Feyenoord itu.

Van Marwijk, yang akan menemui para pemainnya dalam dua hari latihan yang berasingan minggu depan, juga memutuskan tidak mengundang pemain-pemain yang terlibat dalam final Liga Juara-Juara Eropah.

Ini bermakna dua bintang Bayern Munich, Arjen Robben dan Mark van Bommel, dan pemain Inter Milan, Wesley Sneijder, akan kekal bersama kelab masing-masing.

Dua muka baru, Jeremain Lens dari AZ Alkmaar dan pemain Ajax, Vurnon Anita, diundang buat pertama kalinya.

Van Marwijk akan memilih 30 pemain awal bagi skuad Piala Dunia pada 11 Mei ini. -TheSun
Dikuasakan oleh Blogger.