Header Ads

LG mahu kuasai 40% pasaran TV LED

LG Electronics (M) Sdn Bhd (LG), peneraju global dan pencipta teknologi dalam pasaran paparan panel rata dan peralatan audio-video, berhasrat menguasai 40 peratus segmen pasaran bagi diod pemancar cahaya (LED) di Malaysia.

Pengurus produknya, Foo Mun Yee berkata, kini syarikat menguasai 15 peratus pasaran panel hitam, 15 peratus paparan kristal cecair (LCD) dan 31 peratus televisyen plasma.

“Tahun ini kami menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran LCD dan 35 peratus televisyen plasma,” katanya selepas majlis pelancaran rangkaian TV LED Infinia di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pemasarannya, Joanne Foo dan Pengurus Pemasaran Hiburan dan Unit Perniagaan Rumah, Banjir Kim.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeff Cheh berkata, TV LED Infinia disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang ingin merasai pengalaman teknologi baru.

Menerusi teknologi LED sebagai barisan hadapan teknologi paparan, TV 3D Full LED Slim, LG LX9500 kini satu-satunya televisyen 3-Dimensi (3D) di pasaran yang memiliki ciri Full LED Slim, sekali gus menjanjikan teknologi gambar dan pengalaman menonton terbaik.

“Teknologi Full LED Slim LG yang unik mengukuhkan kedudukan LG sebagai peneraju global dalam rangkaian hiburan rumah 3D.

“Sebagai tambahan kepada pembuatan rangkaian penuh TV 3D, kami bekerjasama dengan penyedia isi kandungan dan peralatan untuk menetapkan penanda aras lebih tinggi dalam industri TV 3D global,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.