Header Ads

Keuntungan sebelum cukai PLUS meningkat kepada RM417.488 juta

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Keuntungan sebelum cukai PLUS Expressways Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2010 meningkat kepada RM417.488 juta daripada RM370.873 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Dalam kenyataan di sini hari ini, PLUS berkata peningkatan itu adalah hasil daripada pendapatan yang lebih tinggi dan pengurusan kos yang lebih baik, meskipun kos kewangan meningkat berikutan penerbitan sekuriti Islam tambahan dengan jumlah terbitan yang lebih tinggi pada pertengahan 2009.

Pendapatan bertambah kepada RM813.202 juta daripada RM737.762 juta sebelumnya susulan pertumbuhan jumlah lalu lintas PLUS (9.1 peratus), Elite (14.7 peratus), Linkedua (22.4 peratus) dan Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim (11.8 peratus).

"Pertumbuhan lalu lintas ini sejajar dengan pemulihan ekonomi bagi suku pertama 2010 serta disebabkan oleh kesan asas lalu lintas yang rendah dalam suku pertama 2009," katanya.

PLUS berkata pengambilalihan hingga 74 peratus kepentingan ekuiti dalam Indu Navayuga Infra Project Private Ltd yang berpangkalan di India berjalan lancar dengan bermulanya operasi tol pada 6 Mei.

Katanya pengambilalihan itu dijangka menyumbang kepada aliran pendapatannya dengan serta merta.

Mengenai pembelian 20 peratus kepentingan dalam Touch 'n Go Sdn Bhd daripada UEM Land Holdings Bhd, ia berkata syarikat itu sedang menyiapkan syarat-syaratnya dan dijadualkan selesai menjelang akhir Mei.

Kedua-dua pengambilalihan yang dicadangkan itu melibatkan kos balasan tunai berjumlah RM33.4 juta, katanya.

PLUS berkata syarikat itu sentiasa mencari peluang untuk memanfaatkan pertumbuhan jalan raya bertol seterusnya, sama ada di dalam atau di luar negara, atau perniagaan berkaitan tol. Syarikat itu berkata ia akan terus membelanjakan jumlah wang yang besar bagi kerja-kerja penyenggaraan dan naik taraf bagi memelihara aset dan menambah baik kemudahan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Menurut PLUS India dan Indonesia terus menjadi negara-negara tumpuannya pada masa akan datang.

Tentang prospek bagi 2010, pengarah urusannya, Noorizah Abd Hamid, berkata pertumbuhan itu dijangka menyederhana memandangkan kesan asas lalu lintas yang tinggi dalam suku-suku berikutnya bagi 2009. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.