Header Ads

Mendiang Presiden Poland akan disemadikan Sabtu ini

WARSAW: Mayat mendiang Presiden Poland, Lech Kaczynski, akan disemadikan Sabtu ini, seminggu selepas beliau terkorban dalam nahas pesawat bersama isterinya dan berpuluh pegawai kanan lain, menurut laporan semalam.

Akhbar utama Poland, Gazeta Wyborcza, berkata pemerintah dijangka mengadakan upacara pengebumian negara buat mendiang Kaczynski Sabtu ini.

(Anak perempuan mendiang Lech Kaczynski, Marta,
memberi penghormatan selepas berlutut di hadapan keranda ayahnya
dalam satu upacara penghormatan di lapangan terbang tentera
di Warsaw, Poland. -Foto AP)



Presiden Russia, Dmitry Medvedev, adalah antara pemimpin dunia yang akan hadir, demikian Gazeta Wyborcza menyatakan, Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski, berkata.

Bekas penasihat presiden, Elzbieta Jakubiak, berkata upacara pengebumian Kaczynski dan 95 mangsa lain dalam nahas tersebut akan berlangsung selama dua hari.

"Tetapi keputusan muktamad belum dibuat. Kami masih menunggu mayatmayat dibawa balik ke Poland", kata Jakubiak kepada AFP.

Penasihat presiden sekarang, Jacek Sasin, memberitahu agensi berita Poland, PAP, bahawa kakitangan pejabat Kaczynski dan Perdana Menteri, Donald Tusk, akan berbincang mengenai rancangan pengebumian itu.

Sejauh ini hanya mayat Kaczynski yang sudah dikenal pasti dan diterbangkan pulang ke Poland petang kelmarin.

Menteri Kesihatan Russia, Tatyana Golikova, semalam berkata prosedur bagi mengenal pasti mayat oleh sanak saudara mangsa mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari.

Pakar forensik berkata ujian DNA mungkin terpaksa dijalankan untuk mengenal pasti mayat-mayat lain, termasuk Wanita Pertama, Maria Kaczynska.

Rakyat Poland, yang berkabung selama seminggu, akan dibenarkan memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Kaczynski mulai hari ini.

Kaczynski dan rombongan beliau bercadang menghadiri ulang tahun ke-70 pembunuhan beramai-ramai pegawai Poland oleh polis rahsia Soviet di hutan Katyn, apabila nahas berlaku.

Pegawai penyiasat Russia berkata kerosakan teknikal bukan punca nahas pesawat Tupolev Tu-154 yang terhempas di Smolensk, barat Russia.

Ketua penyiasat Russia, Alexander Bastrykin, berkata, "Juruterbang diberitahu keadaan cuaca buruk tetapi memutuskan membuat pendaratan". -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.