Header Ads

Maybank cadang pindah 69.05 % kepentingan dalam Mayban Fortis Holdings Bhd ke Etiqa

KUALA LUMPUR, 5 April: Malayan Banking Bhd (Maybank) Isnin mengumumkan cadangan pemindahan 165.321 juta saham biasa dalam Mayban Fortis Holdings Bhd, mewakili kepentingan langsungnya sebanyak 69.05 peratus, kepada Etiqa International Holdings Sdn Bhd.

Pertimbangan belian bernilai RM359.34 juta akan dilunaskan dengan jumlah yang dihutang oleh Etiqa International kepada Maybank, kata bank dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Selepas selesainya cadangan pemindahan itu, Etiqa International akan bertindak sebagai syarikat pegangan pelaburan untuk perniagaan insurans, takaful dan pengurusan aset Maybank.

Aktiviti-aktiviti utama Mayban Fortis ialah pegangan pelaburan dan menyediakan perkhidmatan perkongsian kepada kumpulan syarikat berasaskan kepada boleh bayar ganti.

Untuk anak-anak syarikatnya, aktiviti utamanya termasuklah perniagaan insurans am dan hayat, perniagaan takaful am dan keluarga, perniagaan berkaitan pelaburan, perniagaan insuran hayat berkaitan pelaburan luar pesisir, pengurusan dana dan pegangan pelaburan.

Menurut Maybank, cadangan pemindahan itu akan membantu dalam mengemaskinikan perniagaan insurans dan takaful dan menyediakan syarikat dengan sebarang potensi pengembangan perniagaan.

Cadangan pemindahan itu turut membolehkan Maybank mengukuhkan platform sedia adanya di persada antarabangsa, sekali gus menaikkan lagi profil perniagaan insurans dan takaful, kata bank itu.

Berdasarkan kepada penyata kewangan terkumpul kumpulan Mayban Fortis yang telah diauditkan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2009, untung bersih dan aset bersih bersandarkan kepada pemegang ekuitinya, masing-masing ialah RM268.326 juta dan RM2.281 bilion. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.