Header Ads

Kesan letupan Gunung Berapi di Iceland: Presiden Estonia pulang ikut jalan darat

LONDON: Apabila Presiden Estonia, Toomas H. Ilves, tiba di Turkey bagi satu lawatan rasmi minggu lepas, beliau tidak menyangka kepulangannya akan menghadapi masalah.

Namun, ancaman debu daripada letupan Gunung Berapi Eyjafjallajokul di Iceland memaksa beliau melakukan perjalanan darat melewati sembilan negara dalam masa empat hari.

Ilves berlepas dari Istanbul, Turkey, Ahad lalu. Pada Isninnya, beliau makan malam bersama Presiden Boris Tadic bagi Serbia.

Di Poland, beliau berhenti untuk meletak bunga di kubur Presiden Lech Kaczynski.

"Saya bukan Odysseus, yang kembali ke Penelope selepas 20 tahun. Ia cuma empat hari. Itu tidak apa-apa", kata Ilves sebaik saja tiba di Estonia dan sempat menyambut orang kenamaan yang melawat negaranya.

Beliau dan isterinya, Evelin, beruntung kerana perjalanan mereka lancar.

Rombongan mereka seramai 14 orang menyewa sebuah bas untuk pulang ke Estonia dari Turkey. Tetapi protokol keselamatan di sesetengah negara memaksa beliau dan isterinya menaiki sebuah kereta berasingan dalam perjalanan itu.

Untuk mengisi masa, beliau membaca buku dan melungsuri Internet di sepanjang perjalanan. Beliau sempat menikmati perubahan iklim semasa merentasi negara yang berlainan.

Pengalaman yang sama dilalui Canselor Jerman, Angela Merkel.

Beliau memulakan perjalanan dari San Francisco, Amerika Syarikat. Selepas pesawatnya berhenti di North Dakota, Portugal dan Rome, Merkel terpaksa menaiki sebuah limousin kalis peluru dari Italy ke Jerman.

Panglima tentera Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jeneral Stanley A. McChrystal, mengambil masa selama 17 jam menaiki bas dari Paris ke Berlin untuk memberi taklimat kepada para pegawai Jerman Rabu lalu.

Selasa lalu, Microsoft Corp menyewa pesawat khas untuk menerbangkan pekerjanya yang terkandas di ibu pejabatnya di Redmond, Washington, pulang ke Eropah.

Pesawat yang sama kemudian membawa balik lebih 100 orang pekerja rakyat Amerika, kata Microsoft kelmarin.

Namun, 81 daripada mereka diterbangkan ke Madrid dengan pesawat sewa khas melalui New York, kata jurucakap Microsoft, Lou Gellos, kelmarin. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.