Header Ads

Iskandar Malaysia: Hati-hati, jangan biarkan peristiwa Pulau Batu Putih berulang

Jaga-jaga orang Johor, ramai pelabur Singapura sedang 'dijemput' untuk melabur di Iskandar Malaysia. Mereka tengah melobi untuk menarik seberapa ramai pelabur Singapura untuk melabur di Iskandar Malaysia.

Bentuk pelaburan tu tidaklah diketahui keseluruhannya, tapi berhati-hatilah. Jangan sampai kejadian Pulau Batu Putih berulang kembali. Bila Singapura dah menguasainya, dibimbangi agenda Singapura memperluaskan empayarnya akan berulang.

Laporan berita Singapura, pemaju utama yang ditugaskan bagi membangunkan sebahagian besar wilayah Iskandar Malaysia di Johor akan memberi tumpuan menarik lebih banyak pelaburan dari Singapura tahun ini, bahkan sedang berbincang dengan beberapa daripada mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Berhad (IIB), Cik Arlida Ariff, berkata pihaknya berminat mendapatkan para pelabur Singapura yang menjalankan operasi perniagaan seperti hotel dan pusat runcit atau pengendalian pejabat-pejabat sokongan.

'Kami mahu membawa masuk jenama-jenama Singapura yang tidak terdapat di Malaysia, menawarkannya di Iskandar. Terdapat banyak jenama Singapura yang menarik yang saya rasa boleh dibawa ke sini,' kata Cik Arlida.

Namun, Cik Arlida enggan mendedahkan pelabur Singapura yang sedang 'dipikat' itu.

Sebelum ini sebuah syarikat pendidikan, Raffles Education Corporation, yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX), telah memeterai perjanjian dengan IIB untuk meneroka rancangan membina Universiti Raffles Iskandar di wilayah itu.

Iskandar Malaysia merupakan zon ekonomi baru di selatan Johor merangkumi pusat-pusat perniagaan, kewangan, pentadbiran, perumahan, pendidikan, dan resort.

Ia seluas 2,217 kilometer persegi atau tiga kali lebih besar dari saiz Singapura.

Dalam satu temuramah di pejabatnya di Danga Bay, Johor Bahru, baru-baru ini, Cik Arlida berkata pihaknya tidak boleh mengetepikan pelaburan dari Singapura, begitu juga Singapura tidak boleh mengetepikan Malaysia.

'Sedang kita mencari pelaburan di serata dunia, di Timur Tengah dan sebagainya, saya rasa pelabur yang lebih dekat dengan negara ini merupakan pasaran menarik,' katanya yang memimpin IIB sejak 2008.

IIB juga telah menubuhkan pejabatnya di sini dengan kebanyakan kakitangannya adalah warga Singapura.

Menurut Cik Arlida, sebelum ini terdapat pelbagai persoalan sama ada kededua pihak boleh bekerjasama dalam Iskandar Malaysia tetapi sokongan daripada kedua-dua pemerintah menunjukkan pembangunan Iskandar boleh menjadi jalinan simbiotik antara kedua-dua negara.

Cik Arlida berkata, pihaknya memahami sikap beberapa pelabur Singapura yang sebelum ini agak sinis teradap banyak projek di Malaysia, yang dimulakan tetapi tidak diselesaikan.

Oleh itu, beliau berazam mahu menolak tanggapan itu dengan menjadikan Iskandar Malaysia sebuah pembangunan yang mempunyai kredibiliti bukan hanya sebuah visi dan percakapan kosong sahaja.

Malah, IIM telah pun mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) baru-baru ini untuk memberitahu mereka perkembangan di situ sejak dua tahun lalu.

Mengulas peluang pelaburan di wilayah itu, CEO SBF, Encik Teng Theng Dar, berkata pihaknya melihat banyak peluang perniagaan bagi syarikat dari Singapura di sana.

Menerusi kerjasama rapat dengan Iskandar Investment Berhad, SBF berharap untuk sama-sama memudah dan menghubungkan masyarakat perniagaan Singapura kepada peluang pertumbuhan perniagaan di Iskandar Malaysia, katanya.

Cik Arlida menambah: 'Bagi kami adalah penting untuk kita membangunkan kredibiliti sebelum memasarkan projek-projek kami di Singapura secara agresif. Ia (Iskandar Malaysia) begitu dekat sekali dengan Singapura, anda boleh datang dan melihat sendiri sama ada ia benar-benar berlaku.'
Dikuasakan oleh Blogger.