Header Ads

BMW Group Malaysia bakal perkenalkan BMW E60 5-Series

BMW Group Malaysia akan memperkenalkan BMW 5 Series generasi keenam yang dinanti-nantikan di pasaran Malaysia, bulan depan.

Model baru dengan reka bentuk futuristik, pemanduan dinamik dan kecekapan unggul yang diakui dunia itu, dijangka memanfaatkan legasi model sebelumnya dan menjadi penyumbang utama terhadap keuntungan syarikat itu.

Semalam, BMW Group Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada BMW 5 Series generasi kelima pada satu majlis di kilang pemasangan separuh tempatan (SKD) yang dikongsi dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, yang juga anak syarikat Sime Darby Bhd, di Kulim, Kedah.

“BMW 5 Series adalah kereta istimewa bagi kami di kilang ini. Ia adalah model 5 Series pertama yang dipasang di Malaysia dan kereta ini bersama kami sejak daripada mula kami beroperasi di kilang Associated Motor Industries di Shah Alam,” kata Pengurus Pengeluaran dan wakil kilang BMW Group Malaysia, Manfred Zink.

Ini adalah kumpulan pertama kereta yang dikeluarkan sejak BMW Group Malaysia berpindah premis ke kilang Inokom Corporation pada Ogos 2008.

Zink menambah, model sedan premium juga mencapai kejayaan di Malaysia dan setakat ini sejumlah 7,735 unit dijual. Daripada jumlah itu, katanya, 6,732 unit dipasang di Malaysia.
Beliau berkata, dengan lebih sejuta unit dijual di seluruh dunia, BMW 5 Series generasi kelima mengubah prinsip moden reka bentuk kereta.

“Dari 2005 hingga 2008, kereta itu muncul sebagai kereta terlaris di dunia dalam segmennya selama empat tahun berturut-turut,” katanya. -BH
Dikuasakan oleh Blogger.