Thierry Henry tetap peminat Arsenal walaupun menyarung jersi Barcelona
MADRID: Thierry Henry mungkin menyarung jersi Barcelona tetapi beliau tetap peminat Arsenal.Barcelona, selaku johan bertahan, akan berkunjung ke Stadium Emirates untuk menentang Arsenal esok dengan Henry menegaskan perlawanan itu pasti mencetuskan detik-detik mengharukan baginya.
Berusia 32 tahun, Henry tidak pernah berentap dengan Arsenal sejak beliau menyertai Barcelona pada Jun 2007 untuk kontrak selama empat tahun.
Sejak saya menyertai Barcelona, saya hanya sekali berada di Stadium Emirates.
"Ketika itu, Arsenal menentang Blackburn. Saya fikir perlawanan berlangsung tiga ataupun empat bulan lalu. Saya tidak tahu bagaimana reaksi penonton Arsenal terhadap saya nanti", jelas Henry, yang mendakwa penyokong setia Arsenal.
"Saya akan sentiasa menjadi penyokong Arsenal. Apabila Arsenal beraksi, anda boleh melihat bahawa saya akan berada di depan kaca televisyen.
Henry muncul sebagai penjaring utama Liga Perdana England sebanyak empat kali sepanjang beraksi dalam pertandingan ini selama lapan musim.
Beliau dipilih sebagai pemain terbaik dalam sejarah pasukan Arsenal dalam satu tinjauan melalui laman web kelab tersebut baru-baru ini.
"Apabila anda menyarung jersi untuk sesebuah pasukan, matlamat anda ialah melakukan yang terbaik. Selepas itu, biarlah peminat menilai sumbangan anda.
"Saya menjalin hubungan baik dengan peminat Arsenal", kata Henry, yang mengakui beliau akan berasa tidak selesa menentang bekas rakan-rakannya dalam pasukan Arsenal.
"Saya adalah pemain yang sungguh beremosi tetapi dalam pada itu, saya harus bersikap tenang. Yang pasti, saya akan berasa aneh beraksi dalam perlawanan ini."
Menurutnya, sebelum undian peringkat suku akhir diadakan, beliau tidak mahu melihat Barcelona menentang Arsenal.
"Bayangkan, saya telah bersama Arsenal selama lapan tahun. Tetapi undian menemukan kami dalam peringkat suku akhir," ujarnya. -Reuters
Post a Comment