Header Ads

Liga Juara: Arsenal perlu berhati-hati dan tidak membuat kesilapan bodoh

(Kapten Arsenal, Cesc Fabregas (kiri), mungkin tidak dapat beraksi kerana kejang otot tetapi Samir Nasri boleh memberikan kekuatan di midfield. - Foto AFP)

DALAM bola sepak selalu disebut ungkapan 'kesilapan budak sekolah'. Dalam bahasa kasar, kesilapan bodoh.

Jika Arsenal ingin meneruskan langkah perjuangannya dalam persaingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, pasukan itu tidak mampu melakukan kesilapan seperti itu lagi.

Hari ini, Arsenal akan menerima kunjungan Porto dari Portugal di Stadium Emirates. Setelah tercicir 1-2 dalam pertarungan pertama di Estadio do Dragao pada 17 Februari lalu gara-gara dua kesilapan penjaga gawangnya, Lukas Fabianski, sehingga memberi peluang kepada Valera kemudian Radamel Falcao menyumbatkan gol masing-masing, Arsenal perlu menang sekurang-kurangnya 1-0 agar dapat mara ke peringkat suku akhir.

Yang menjadi pertanyaan: Bolehkah Arsenal menang?

Jawapannya: Tentu boleh.

Sebabnya, Manuel Almunia telah kembali mengambil alih tempat Fabianski. Itu bermakna benteng terakhir Arsenal kini lebih mantap. Kemantapan itu tentunya akan meningkatkan lagi keyakinan anak buah Arsene Wenger.

Kemudian, sejak kekalahan di tangan Porto, Arsenal berjaya bangkit dalam persaingan Liga Perdana England.

Maksudnya, Arsenal menewaskan Sunderland 2-0 dan kelmarin, pasukan itu membenam Burnley 3-1 melalui Cesc Fabregas, Theo Walcott dan Andrei Ashavin.

Arsenal seperti memberikan amaran kepada Porto tentang tekadnya menjadikan pasukan pelawat itu sebagai mangsa terbarunya.

Antara tiga penjaring kelmarin, Fabregas selaku kapten pasukan mungkin tidak dapat beraksi kerana mengalami kejang otot.

Tetapi siapa tahu, jika tiba-tiba beliau muncul untuk memimpin kesebelasan utama Arsenal.

Namun, persembahan Walcott dalam pertemuan dengan Burnley begitu membanggakan setelah beraksi hambar semasa menyarung jersi England menentang Mesir.

Akibatnya, pemain sayap kanan England itu menjadi sasaran kecaman bekas pemain England, Chris Waddle.

Selain itu, Arsenal bukan tidak pernah membelasah Porto. Ia telah memporak-perandakan lawannya itu 4-0 awal musim lalu, juga mengalahkannya 2-0 di Stadium Emirates pada 2006.

Apa kata Sol Campbell, pemain yang menyumbatkan gol tunggal dalam pertemuan pertama?

'Perlawanan ini belum berakhir. Masih ada perlawanan kedua. Kejayaan kami menyumbatkan gol di padang lawan memang penting.

'Bayangkan jika kami tewas 0-1. Tugas kami dalam perlawanan ini lebih berat. Dengan memperoleh satu gol di padang lawan, ia memberikan sedikit kelebihan dalam meniti cabaran ini,' kata Campbell, yang tidak disertakan dalam senarai pemain simpanan semasa Arsenal menewaskan Burnley.

Melihat bagaimana Arsenal menguasai permainan dan melenturkan Burnley, pasukan itu mempunyai senjata untuk menimpakan kekalahan ke atas Porto.

Apatah lagi, sejak kemenangan ke atas Arsenal, persembahan Porto tidak menentu.

Dalam dua perlawanan terakhirnya, Porto tumbang 0-3 di tangan Sporting Lisbon dan Sabtu lalu, pasukan pimpinan Jesualdo Ferreria itu sekadar seri 2-2 dengan Olhanense.

Sebab itu, pemain midfield Porto, Raul Meireless, memberitahu bahawa pasukannya tidak mampu bermain berhati-hati dalam usaha untuk seri.

'Kami tidak boleh terlalu bertahan. Itu bukan gaya permainan Porto. Jika kami beraksi seperti itu, ia akan membawa padah kepada perjuangan kami,' jelasnya.

Setiap pemain Porto sedar bahawa Arsenal adalah pasukan yang berbahaya jika mereka mengawal rentak permainan.

'Saya yakin kami boleh melayakkan diri ke peringkat suku akhir,' sambungnya.

Di Stadium Emirates, Arsenal akan terus menyerlah selagi Fabianski tidak beraksi.
Dikuasakan oleh Blogger.