Header Ads

Pemimpin Abu Sayyaf maut dalam serangan tentera marin

ZAMBOANGA: Askar marin Filipina membunuh seorang pemimpin kanan gerila Abu Sayyaf dan lima militan lain dalam serangan ke atas kem mereka di kejiranan Maimbung, pulau Jolo, selatan Filipina, awal pagi semalam.

Serangan itu dilancarkan menyusuli maklumat perisikan bahawa dua pemimpin Abu Sayyaf yang dikehendaki pemerintah, Umbra Jumdail dan Albader Parad, berada di sana, kata panglima Markas Mindanao Barat, Leftenan Jeneral Benjamin Dolorfino.

Empat orang awam mengenal pasti mayat Albader Parad di sebuah kem tentera di bandar Jolo, kata Leftenan Jeneral Dolorfino.

Menurut beliau, adik Umbra, Abdulhaman Jumdail, antara yang terkorban.

'Ini satu kejayaan besar dalam kempen kita memerangi pengganasan kerana kita semua tahu bahawa Albader Parad termasuk salah seorang pemimpin Abu Sayyaf paling berpengaruh,' kata beliau kepada agensi berita Associated Press.

'Ini akan melemahkan semangat anggota lain. Ia menunjukkan bahawa mereka tidak akan dapat melarikan diri daripada undang-undang,' kata beliau.

Askar pemerintah terserempak kumpulan Parad lewat Sabtu lalu dan dapat mengejar mereka di kem tersebut awal semalam, ujar beliau.

Seorang askar marin terkorban dan tiga cedera dalam pertempuran itu, kata jurucakap askar marin, Leftenan Kolonel Edgard Arevalo.

Penemuan mayat gerila yang terbunuh dan senjata mereka menunjukkan gerila Abu Sayyaf terkejut dengan serangan itu kerana biasanya mereka jarang sekali meninggalkan mayat rakan yang terkorban, kata Leftenana Jenaral Dolorfino.

Menurut beliau, platun marin seramai 30 orang itu disokong askar lain bagi menghalang militan daripada melarikan diri dari kubu persembunyian mereka.

Abu Sayyaf, yang mempunyai 400 pejuang, sering dikaitkan dengan serangan bom, penculikan dan pemenggalan kepala tebusan, termasuk rakyat Filipina dan Amerika Syarikat.

Pemerintah Amerika menawarkan hadiah sebesar AS$100,000 ($141,200) bagi menangkap Umbra Jumdail, yang dikenali juga sebagai Dr Abu, dan AS$15,000 bagi Albader Parad.

Kumpulan Parad dituduh menculik tiga pekerja Palang Merah antarabangsa di pulau Jolo awal tahun lalu.

Tiga tebusan itu - rakyat Filipina, Switzerland dan Italy - dibebaskan akhirnya. -AP, AFP
Dikuasakan oleh Blogger.