Nahdlatul Ulama sambut baik lawatan Obama
(TIMBUL KONTROVERSI: Patung Encik Obama semasa zaman kanak-kanak,yang sebelum ini ditempatkan di Taman Menteng, di Jakarta,
bakal dipindahkan ekoran daripada bantahan awam. -Foto AP)
JAKARTA: Pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), menyambut baik lawatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, ke negara itu bulan depan, yang dikatakan dapat memperbaiki hubungan negara adikuasa itu dengan Dunia Islam.
Pengerusi NU, Encik Hasyim Muzadi, dilaporkan oleh Agensi semalam sebagai berkata:
"Lawatan Encik Obama baik untuk Indonesia kerana Encik Obama menawarkan untuk memulihkan hubungan di antara Amerika dengan Dunia Islam selepas ketegangan yang dialami semasa (Presiden) George Bush.
Bagaimanapun, apa yang mampu beliau lakukan mungkin dilihat sebagai bukan yang tindakan yang terbaik (oleh sesetengah pihak).
"Sebagai Presiden Amerika, sebuah negara yang demokratik, beliau memainkan peranan besar tetapi tidak dapat merangkumi semua bidang memandangkan ada badan undang- undang yang membataskan apa yang boleh beliau lakukan."
Lawatan Encik Obama ke Indonesia bersama keluarganya merupakan satu lawatan nostalgia memandangkan beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di negara itu bersama mendiang ibu dan bapa tirinya, seorang warga Indonesia pada tahun 1960-an.
Sebelum ini, Ketua Umum Pergerakan Pertubuhan Muhammadiyah, Encik Din Syamsudin, turut menggesa umat Islam Indonesia agar tidak menolak kedatangan Encik Obama dengan mengadakan demonstrasi.
"Kita tidak perlu bersikap negatif dan sinis. Berikutan itu, saya tidak bersetuju jika ada sesiapa yang menolak kedatangan Encik Obama," kata Encik Din.
Beliau berkata, sebaik-baiknya rakyat Indonesia menerima dan menyambut tetamu dengan baik kerana mereka terkenal sebagai bangsa yang ramah.
"Jadi, sudah sewajarnya kita menunjukkan keramahan kepada semua tetamu negara. Tambahan pula, sebagai umat Islam, kita diwajibkan menghormati tetamu," katanya.
Encik Din berkata keinginan Encik Obama membuka hubungan baru dengan Dunia Islam berdasarkan sikap saling memahami dan menghargai wajar disambut baik.
Beliau menambah, Pergerakan Muhammadiyah menyambut baik hasrat Encik Obama dan berharap ia akan menjadi kenyataan.
"Kedatangan Encik Obama adalah masa yang penting kepada bangsa dan umat Islam kerana ia boleh digunakan untuk membuktikan kebenaran Islam pada peringkat antarabangsa.
"Sudah sampai masanya kita mengadakan dialog dengan cara yang baik dan menyampaikan pandangan kita kepada beliau.
"Saya diberitahu mengenai ura- ura mahasiswa mengadakan tunjuk perasaan membantah kedatangan Encik Obama, namun sebaik-naiknya niat itu dibatalkan dan digantikan dengan sikap ramah dan mesra," kata beliau. -Agensi
Post a Comment