Liga EPL: Spurs, Villa kukuhkan kedudukan
(WIRA SPURS: Penyerang Roman Pavlyuchenko (jersi kuning)menjaringkan satu daripada dua golnya bagi membantu
kemenangan Tottenham 3-0 ke atas Wigan. - Foto Reuters)
LONDON: Tottenham Hotspur dan Aston Villa mengukuhkan kedudukan bagi persaingan sengit merebut tangga keempat Liga Perdana selepas masing-masing menewaskan Wigan Athletic dan Burnley kelmarin.
Tottenham menewaskan Wigan 3-0 sementara Villa menyumbatkan empat gol dalam masa 12 minit permainan separuh masa kedua bagi mengecap kemenangan 5-2 ke atas Burnley.
Manchester City dan Liverpool, yang dipisahkan satu mata, seri 0-0 yang membuka peluang empat pasukan merebut tempat untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Spurs menduduki tangga keempat dengan 46 mata, mengatasi City dengan perbezaan gol, sementara Liverpool dan Villa masing-masing memungut 45 mata.
Chelsea menduduki takhta liga dengan 61 mata, diikuti juara bertahan, Manchester United, 57 mata, dan Arsenal di tangga ketiga dengan 55 mata.
Pertarungan bagi merebut tangga keempat menjadi perhatian utama kelmarin dan Villa mendahului jaringan di padang sendiri ke atas kelab di tangga kedua dari bawah, Burnley.
Pasukan tuan rumah ketinggalan pada awal permainan menerusi jaringan Steven Fletcher, sebelum Ashley Young menyamakan kedudukan selepas minit ke-32.
Villa kemudian mempamerkan corak permainan serangan bagi membenam kegigihan Burnley yang menghasilkan dua gol menerusi Stewart Downing dan satu gol setiap orang jaringan Emile Heskey dan Gabriel Agbonlahor.
Villa, yang akan berdepan dengan Manchester United dalam final Piala Liga Ahad ini, mengendurkan rentak permainannya dan itu membolehkan Martin Paterson menambah satu lagi gol pasukan pelawat.
Pengurus Villa, Martin O'Neill, begitu gembira dengan prestasi pasukannya itu.
'Apabila anda mempunyai pemain-pemain yang baik bermain dengan penuh yakin dan memenuhi kemampuan mereka, hasilnya tentu sekali memberangsangkan,' kata O'Neill.
Tottenham, yang membelasah Wigan 9-1 di White Hart Lane, kelihatan akan hanya menang 1-0 menerusi jaringan Jermain Defoe yang kelihatan dalam kedudukan offside dalam perlawanan di padang yang berlumpur.
Penjaga gawang Wigan, Chris Kirkland, bertindak cemerlang menyelamatkan dua kedudukan bahaya dan Luka Modric menyaksikan percubaannya terkena tiang.
Penyerang bermasalah, Roman Pavluychenko, menceriakan para penyokong Spurs dengan menyumbatkan dua gol dalam masa enam minit terakhir.
Dalam perlawanan lain, Blackburn Rovers menumpaskan Bolton Wanderers 3-0 dan Fulham menang 2-1 ke atas Birmingham City. - Reuters
Post a Comment