Header Ads

Kampung berusia 600 tahun bakal dikorbankan di Melaka

MELAKA: Kira-kira 400 penduduk di Kampung Chetti, di Gajah Behrang, dekat sini, hidup dalam kebimbangan berikutan tapak kampung yang didiami dan diwarisi dari nenek moyang mereka kira-kira 600 tahun lalu, bakal 'dikorbankan' atas nama pembangunan.

Semuanya gara-gara cadangan pembangunan hendak dilaksanakan di situ yang membabitkan pembinaan sebuah hotel dan kondominium setinggi 22 tingkat. Projek berkenaan adalah hasil pelaburan seorang usahawan dari negara jiran Singapura.

Mengikut maklumat diterima, projek yang dianggarkan ratusan juta ringgit ini akan dibangunkan di sebuah kawasan lapang di hadapan pintu masuk ke perkampungan berkenaan. Kebimbangan penduduk ini, selain kampung berdepan kepupusan, masalah lain mungkin juga akan timbul termasuk aspek keselamatan.

Khamis lalu, satu sesi dialog khas bagi membincang isu ini diadakan di bilik bacaan kampung berkenaan. Mereka yang hadir, selain kira-kira 70 penduduk kampung itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri merangkap Pengerusi MIC Melaka, Datuk R Perumal.

Tidak ketinggalan, Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Yusof Jantan dan Timbalan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN), Prof Dr A Ghafar Ahmad. Penduduk kampung diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Penduduk Perkampungan Budaya Chetti, K Nadarajan Raja.

Namun dialog sejam berkenaan dikatakan gagal mententeramkan perasaan penduduk biarpun wakil pemaju berjanji melakukan yang terbaik untuk memelihara dua bangunan kuil masyarakat Chetti selain, tidak membangunkan hotel dengan konsep rekaan ranggi sehingga mengganggu keharmonian penduduk di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Penduduk Perkampungan Budaya Chetti, K Nadarajan Raja, 46, berkata, masyarakat di situ musykil dengan janji wakil pemaju kerana mereka sudah ada pengalaman pahit ketika pembangunan projek di bersebelahan kampung itu yang dibangunkan pada 1980-an.

Pembangunan projek itu menyebabkan wujud kesan retak di beberapa struktur kuil Sri Maha Mariamman berusia 187 tahun di kampung itu.

“Pemaju memang berjanji akan menggunakan perkakas terbaik mereka untuk membangunkan bangunan tinggi di kampung ini. Tetapi apalah ertinya pembangunan itu, sekiranya bangunan berkenaan jugalah nanti yang akan menjadi bahan cemuhan penduduk.

“Saya bimbang, jika tidak teliti, lama kelamaan, lebih ramai generasi muda Chetti akan keluar meninggalkan kampung ini. Saya ingin jelaskan, kami di sini bukannya kaum Chettiar seperti anggapan banyak pihak yang hidup kaya raya hasil menjadi peminjam wang.

“Kami di sini rata-rata hidup sederhana. Inilah saja perkampungan warisan peninggalan nenek moyang kami yang datang berdagang ke Melaka sejak zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka 600 tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog berkenaan.

Dalam pada itu, A Ghafar yang diminta memberi pandangan, mendapat sokongan penduduk apabila mengutarakan pendapat ringkasnya terhadap projek bangunan setinggi itu di kawasan kampung itu dianggap tidak harmoni dengan persekitaran masyarakat perkampungan yang masih kekal hidup secara tradisional.

“Setiap kali kerja pembangunan dilaksanakan, ia membabitkan pergerakan tanah dan air bawah tanah, kesannya mungkin tidak dilihat dalam tempoh setahun dua, tetapi ia hanya berlaku selepas suatu tempoh lama. Ini boleh membahayakan keselamatan,” katanya.

Seorang tokoh pengkaji dan kolumnis sejarah tanah air, K Narayana Samy, 66, yang sememangnya banyak membuat kajian serta menulis sejarah unik masyarakat Chetti di Melaka sejak 1960, berkata kewujudan masyarakat itu boleh dianggap amat unik kerana selain fasih berbahasa Melayu, mereka turut mengamalkan budaya Melayu termasuk pandai berpantun dalam kehidupan harian kecuali masih kekal menganut agama Hindu.

Katanya, atas faktor sejarah hasil proses asimilasi begitu lama di Melaka itulah sepatutnya mewajarkan kerajaan negeri menghalang pembangunan di kampung berkenaan kerana jarak tapak projek berkenaan hanya terpisah 60 meter daripada tapak kuil berkenaan.

“Banyak perkara yang saya bimbangkan dengan projek ini kerana ia akan menyebabkan masyarakat di sini akan mengecil dan jika perkara itu berlaku berterusan, ia lambat laun akan lenyap dan mungkin suatu hari nanti penduduknya dianggap masyarakat setinggan pula yang kemudiannya boleh dihalau keluar,” katanya.

Sumber: Berita Harian
Dikuasakan oleh Blogger.