Header Ads

Pasaran modal Islam Malaysia melebihi RM1 trilion - Sekuriti Malaysia

Saiz pasaran modal Islam Malaysia melebihi RM1 trilion pada 2010, meningkat 15.2 peratus, demikian menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam laporan tahunan 2010 SC yang dikeluarkan semalam, ia berkata, pemerolehan dana melalui instrumen yang mematuhi Syariah, terus mengekalkan popularitinya.

Ia meluluskan 21 terbitan sukuk dengan nilai RM40.3 bilion, yang menguasai 63.4 peratus jumlah kelulusan bon daripada segi nilai pada 2010.

Sukuk musyarakah mewakili RM16.7 bilion atau 42.1 peratus jumlah kelulusan sukuk.

Menurut SC, perantara Malaysia terus memperluaskan kehadiran mereka di pasaran dengan CIMB Islamic memainkan peranan utama dalam sukuk mata wang asing berjumlah AS$500 juta yang diterbitkan Bank Pembangunan Islam pada Disember 2010.

Prudential Fund Management Bhd menjadi perantara Malaysia pertama untuk memanfaatkan perjanjian pengiktirafan bersama dengan Dubai bagi pengedaran rentas sempadan dana Islam dan melancarkan Prudential Shariah Opportunities-Asia Pacific Equity Fund pada Disember 2010.

SC berkata, jumlah syarikat pengurusan dana Islam juga bertambah kepada 15 dengan kelulusan empat lesen pengurusan dana Islam baru.

Pada 2010, SC memperhebatkan pengendalian kawal selia institusi pasaran dan perantara di samping menambah fungsi pengawasannya.

Menurut SC, 29 sekatan pentadbiran dilaksanakan terhadap perantara bagi pelbagai salah laku, pelanggaran lesen dan pelanggaran pengambilalihan serta peruntukan penggabungan. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.