Header Ads

Wajib pasang beg udara: Bagaimana nasib pemilik kenderaan yang tidak mampu?

WarkahDaily – Kementerian Pengangkutan semalam telah mengeluarkan arahan bagi semua kenderaan diwajibkan memasang beg udara bermula tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata langkah itu bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Mulai tahun depan, kerajaan akan mewajibkan semua kenderaan dipasang beg udara bagi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2011.

Kong turut menjelaskan, kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kemalangan maut akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.

Sebelum ini, kementerian turut mewajibkan penumpang belakang kenderaan awam memakai tali pinggang keledar.

Sebelum itu ada juga suara-suara yang tidak berpuas hati dengan arahan itu seperti pemilik kereta yang memang tidak disediakan tali pinggang di bahagian belakang. Antaranya kereta keluaran lama.

Pada ketika itu, syarikat kereta tempatan, Perodua telah mengumumkan Seramai 431,262 pemilik kereta keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang tidak dilengkapi tali pinggang keledar bagi penumpang belakang boleh memasang alat keselamatan itu secara percuma mulai awal tahun depan.

Sebanyak RM41.8 juta diperuntukkan oleh syarikat pengeluar kereta tempatan itu bagi pembekalan dan pemasangan tali pinggang keledar belakang secara percuma membabitkan model Kancil, Kenari, Kelisa, Kembara dan Rusa.

Mungkin itu adalah sebahagian daripada khidmat masyarakat kepada pelanggannya disamping menghargai pelanggan mereka.

Sekarang, bagaimana pula dengan beg udara?

Dah pasti kos untuk memasang beg udara lebih berganda tingginya berbanding tali pinggang keledar. Mungkin sehingga seribu ke atas. Jadi ia mungkin lebih membebankan pemilik kereta untuk memasang beg udara pada kereta masing-masing.

Dalam keadaan pengguna kereta perlu menanggung harga minyak yang sentiasa naik, perlu berhadapan bayaran saman ekor yang tak terlangsai, perlu menanggung cukai jalan dan bayaran tol.

Pengguna kenderaan awam ni, bukan semuanya hidup senang lenang, bukan semua kaya-raya. Mereka juga ada keluarga yang sudah pasti memerlukan perbelanjaan isi rumah yang tinggi dalam keadaan harga barang yang sentiasa naik akhir-akhir ini.

Jadi, dengan arahan terbaru kerajaan itu, apakah tiada inisiatif dari mana-mana syarikat pengeluar kenderaan tempatan untuk menghargai pelanggan mereka untuk membantu dalam hal ini. Tak tanggung sepenuhnya pun, separuh harga ke, atau bagi diskaun yang lebih berpatutan ke pun dah cukup sebagai cara menghargai pengguna kereta nasional yang sentiasa menjadi pelanggan setia mereka. Jika tiada pelanggan, sudah pasti mereka ini tidak ada.

Kerajaan perlu memikirkan akan hal ini untuk memberi apa-apa subsidi bagi meringankan beban rakyat sendiri.
Dikuasakan oleh Blogger.