[Video] Barcelona benam Malaga 4-1, kukuh kedudukan puncak liga
MADRID: Barcelona mengukuhkan kedudukan di tangga atas La Liga Sepanyol dengan kemenangan 4-1 ke atas Malaga kelmarin.
Kemenangan selesa itu memberikan Barcelona kelebihan empat mata ke atas musuh utamanya, Real Madrid, yang seri 1-1 dengan Almeria Sabtu lalu.
David Villa menjadi wira Barcelona dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
Andreas Iniesta dan Pedro masing-masing menjaringkan satu gol, sementara gol tunggal Malaga dijaringkan Duda.“Ini kemenangan penting bagi kami. Kami yakin mampu memberi yang terbaik musim ini,” kata Villa.
Kemenangan itu bermakna pasukan pimpinan Pep Guardiola telah menjaringkan 61 gol musim ini, sementara gawang mereka hanya dibolosi 11 kali.
Prestasi Barcelona semakin hebat musim ini. Mereka hanya kalah sekali dan memungut 52 mata sejauh ini.
Pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi, juga memainkan peranan penting dalam perlawanan tersebut.
Beliau membantu mencipta gol Iniesta pada minit kelapan.
Sementara itu, bintang midfield Real, Kaka, memulakan perlawanan buat kali pertama musim ini selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Pemilihan tersebut bermakna Cristiano Ronaldo, penjaring gol tertinggi La Liga, telah diturunkan sebagai penyerang utama Real.
Namun, beliau gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan.
Ronaldo mempunyai peluang pada minit ke-40 tetapi penjaga gawang Almeria, Diego Alves, berjaya menyelamatkan percubaannya.
Almeria kemudian mendapatkan gol pada minit ke-60 melalui usaha Jose Ulloa.
Gol tersebut menyebabkan Real terkial-kial mencari gol penyamaan, yang akhirnya diperolehi oleh pemain gantian, Esteban Granero, pada minit ke-77.
Real seharusnya memenangi perlawanan tersebut kerana mereka membuat 24 percubaan ke gawang Almeria. -Reuters
Post a Comment