Header Ads

Rakyat Tunisia kini desak Perdana Menteri pula letak jawatan

TUNIS: Ratusan pembantah anti pemerintah dari kawasan luar bandar di bahagian tengah Tunisia semalam berarak ke ibu kota negara itu, menambahkan tekanan ke atas Perdana Menteri, Mohammad Ghannouchi, supaya meletakkan jawatannya berikutan penggulingan bekas presiden negara itu.

“Rakyat sudah datang untuk menggulingkan pemerintah,” laung ratusan pembantah, sedang mereka berarak melalui kawasan tengah Tunis.

Mereka mengibarkan bendera dan memegang gambar puluhan orang yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Tunisia semasa pemberontakan lebih seminggu lalu.

Pemerintah peralihan baru Tunisia yang dibentuk menyusuli penggulingan bekas presiden negara itu, Zine El Abidine Ben Ali, pada 14 Januari lalu mengumumkan langkah-langkah kebebasan demokratik yang belum pernah dilihat sebelumnya tetapi ia masih dipimpin Ghannouchi dan beberapa tokoh rejim lama Tunisia yang memegang jawatan-jawatan penting.

“Kami datang untuk menggulingkan saki-baki pemerintahan diktator,” kata Mohammed Layani, seorang warga emas yang membalut dirinya dengan bendera Tunisia.

Para pembantah itu menyifatkan 'lawatan' mereka dari kawasan miskin di bahagian tengah Tunisia itu sebagai satu 'Kafilah Pembebasan'.

Perarakan itu disokong Kesatuan Sekerja Pekerja Tunisia (UGTT) yang telah memainkan peranan utama dalam bantahan menentang Ben Ali dan enggan mengiktiraf pemerintahnya.

Ribuan rakyat Tunisia mengadakan demonstrasi anti pemerintah secara aman di Tunis kelmarin dengan diawasi ratusan pegawai polis.

Secara rasmi, perhimpunan awam melebihi tiga orang diharamkan di bawah satu perintah darurat yang masih dikekalkan bersama perintah berkurung pada malam hari.

Namun, perintah berkurung itu dilonggarkan dan sekolah-sekolah serta universiti-universiti yang ditutup sejak 10 Januari lalu dijangka dibuka semula minggu ini.

Ghannouchi menjadi Perdana Menteri Tunisia pada 1999 dan beliau berjanji akan meletakkan jawatannya selepas pilihan raya demokratik pertama negara Afrika Utara itu sejak ia merdeka dari Perancis pada 1956. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.