Header Ads

Pendedahan WikiLeaks: Obama hubungi Erdogan pulih hubungan

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kelmarin menghubungi Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, untuk memulih hubungan.

Ini menyusuli pendedahan kabel diplomatik Amerika oleh laman web WikiLeaks yang mengandungi kenyataan negatif mengenai pemimpin Turki itu, menurut laporan semalam.

Obama menjelaskan sesetengah kenyataan dalam kabel itu tidak mencerminkan pandangan pentadbiran Amerika sekarang, dan hubungan sekutu dengan Turki amat penting, kata pejabat Erdogan menerusi laman webnya.

Obama menyuarakan rasa kesal dengan tindakan keji WikiLeaks. Kedua-dua pemimpin akur perkara itu tidak akan menjejas kerjasama rapat antara Amerika dan Turki, kata pejabat Obama.

Awal bulan ini, Erdogan menjadi marah disebabkan dakwaan yang disebut dalam memo diplomatik 2004 bahawa beliau mempunyai akaun bank di Switzerland.

Menurut Erdogan, diplomat Amerika patut dihukum kerana menyebarkan fitnah.

Satu lagi kabel diplomatik Amerika, bertarikh Februari 2009, mendakwa sahabat Erdogan mendapat faedah daripada perjanjian perniagaan Turki dengan Iran.

Dalam perbualan telefon itu, Erdogan memberitahu Obama bahawa insiden itu tidak akan menjejas hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Beliau menghargai pernyataan kesal oleh Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, berhubung perkara itu.

“Adalah penting agenda kita bersama tidak berubah disebabkan perkara ini,” kata Erdogan.

Sementara itu, para penyokong pengasas WikiLeaks, Assange, semalam mengadakan tunjuk perasaan di Madrid, Barcelona, Amsterdam, Mexico City, Lima dan Bogota, menggesa agar beliau dibebaskan. -AP, AFP
Dikuasakan oleh Blogger.