Header Ads

Perancis benam England 2-1

Perancis semakin menunjukkan peningkatan sejak tersingkir awal pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Jun dan Julai lalu. Awal pagi semalam, skuad bimbingan Laurent Blanc ini mempamerkan kualiti sebenar apabila mengejutkan England dengan kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan di Stadium Wembley.

Lebih memalukan, kekalahan itu adalah yang pertama bagi England di gelanggang sendiri sejak Fabio Capello membimbing pasukan itu hampir tiga tahun lalu.

Manakala bagi Perancis, kemenangan itu adalah yang keempat berturut-turut di pentas antarabangsa sejak berada di bawah kendalian Laurent Blanc, Ogos lalu.

Ia termasuk tiga kemenangan yang dicatat mereka pada aksi saingan kelayakan Euro 2012.

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema dan Mathieu Valbuena muncul wira skuad Les Bleus selepas masing-masing meledak satu gol pada minit ke-16 dan 55.

Gol tunggal England pula hadir menerusi penyerang Tottenham Hotspur, Peter Crouch ketika perlawanan hanya berbaki empat minit.

"Kami (Perancis) beraksi dengan baik pada babak pertama sehingga berjaya menjaringkan satu gol.

"Sebelum perlawanan bermula, kami ada berbincang mengenai cara terbaik untuk mengatasi England yang menerapkan corak permainan fizikal.

"Namun, kami berjaya mengawal bola dengan baik dan menguasai perlawanan, sekali gus membuatkan England tertekan bagi menjaringkan gol," jelas Blanc.

Dalam pada itu, jurulatih England, Fabio Capello merupakan individu paling kecewa selepas menyaksikan anak buahnya tewas di laman sendiri.

Kekalahan itu juga merupakan yang pertama buat Capello selepas menyaksikan anak-anak buahnya tersingkir pada pusingan kedua Piala Dunia 2010. -AP
Dikuasakan oleh Blogger.