Liga Juara-Juara Eropah: Man Utd, Inter dan Barcelona ke pusingan kalah mati
LONDON: Manchester United melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah setelah berjaya membenam Rangers 1-0 di tempat lawan dan turut disertai bersama oleh juara bertahan Inter Milan dan Barcelona.(Pertahanan Rangers, David Weir berebut bola dengan penyerang Manchester United, Wayne Rooney sewaktu perlawanan Liga Juara-Juara Eropah kumpulan C di Glasgow. -foto AFP)
Inter Milan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Belanda, Twente FC dan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan ke atas jurulatih mereka, Rafa Benitez manakala Barcelona menang bergaya 3-0 di Greece menewaskan Panathinaikos dengan Pedro menyumbangkan dua gol.
Tiga kelab gergasi itu bakal disertai oleh Valencia, Tottenham Hotspur, Lyon dan Schalke untuk sama-sama beradu nasib di pusingan kalah mati.
Valencia membelasah kelab Turki, Bursapor 6-1 untuk menjadi wakil kumpulan C bersama-sama Man Utd, Tottenham mudah mengenepikan cabaran Werder Bremen 3-0 di tempat sendiri, manakala Schalke menundukkan Lyon dengan jaringan yang sama, sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan seterusnya.
Dengan keputusan terbaru ini, kelab-kelab tersebut bakal menyertai AC Milan, Marseille, Bayern Munich, Chelsea dan Real Madrid yang terlebih dahulu telah menempah tiket ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal United di Ibrox, Lionel Messi menambah satu lagi jaringan peribadi buat dirinya di Athens dan Klaas-Jan Huntelaar menyumbangkan dua gol buat Schalke dalam kemenangan mereka ke atas Lyon.
Inter yang sedang mengalami musim yang menyukarkan di dalam kempen domestik mereka mampu menarik nafas lega setelah Esteban Cambiasso meledakkan gol buat Inter pada minit ke-55 dan di London, Younes Kaboul, Luka Modric serta Peter Crouch memastikan Tottenham melangkah ke pusingan kalah mati buat pertama kali.
Dalam perlawanan lain, Rubin Kazan menang 1-0 ke atas FC Copenhagen untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan seterusnya walaupun hanya telah menjaringkan dua gol sahaja setakat ini. -D5 Sports
Post a Comment