Penjual air dihadap ke mahkamah kerana cabul gadis
Seorang penjual air dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis dalam sebuah rumah di Kampung Pandan 1, Jalan Gambang dekat sini, awal pagi 8 Oktober lalu.Tertuduh, Jamaluddin Abizar, 20, dari Kampung Tok Embun, Mentakab, Temerloh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.
Dalam pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa berusia 18 tahun dengan memeluk tubuh, mencium leher dan meraba payudara gadis itu di rumahnya antara jam 12.30 hingga 1.15 pagi tarikh tersebut.
Tertuduh yang ditahan polis empat hari selepas kejadian dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM4,000 oleh pihak pendakwaan dengan seorang penjamin bercagar bagaimanapun dia dibenarkan membuat rayuan berhubung jumlah jaminan yang dikenakan.
Dalam rayuannya, tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penjual air dengan pendapatan kira-kira RM200 seminggu.
Mengambil kira rayuannya itu, Adibah membenarkan jumlah wang jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM3,000 dengan seorang penjamin bercagar manakala 24 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes itu seterusnya. -SH
Post a Comment