Sambutan Hari Kebangsaan: Kempen kibar Jalur Gemilang hambar
Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh, kecewa apabila melihat tidak ramai penduduk daerah ini yang berjumlah hampir 160,000 kurang bersemangat menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang.“Apa salahnya jika setiap individu mengumpulkan satu sen sehari untuk membeli sehelai Jalur Gemilang yang harganya tidak sampai RM10 bagi dikibarkan pada bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun di negara kita?
"Hanya itu pengorbanan kita berbanding nenek moyang kita dahulu yang terpaksa bergadai nyawa membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah,” katanya terhadap kempen kibar bendera sempena bulan kemerdekaan yang disifatkannya sebagai hambar.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menyerahkan bendera keramat itu kepada pemimpin masyarakat dalam satu majlis sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah) di Dewan Balora, petang kelmarin.
Hadir sama, Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah, Timbalannya Wan Mat Amin Wan Daud, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung sekitar pentadbiran Wilayah Ketengah.
Bagi merancakkan lagi kemeriahan kempen kibar Jalur Gemilang di Dungun, Ketengah sebagai sebuah agensi milik Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menganjurkan satu program pembahagian bendera kebangsaan kepada semua pemimpin di peringkat kampung untuk dikibarkan di kediaman serta tempat strategik di kampung masing-masing. -SH
Post a Comment