Header Ads

Projek Bakun: Pampasan kami belum dibayar - Penduduk

Pengerusi Jawatankuasa Penempatan Semula Bakun James Masing mengakui bahawa penduduk yang terlibat dengan projek empangan Bakun masih belum menerima bayaran pampasan.

Beliau menyalahkan pertikaian di antara penduduk yang membuat tuntutan itu sebagai punca kelewatan.

"Saya tidak boleh memberitahu jumlah yang terlibat tapi beberapa juta ringgit telah pun didepositkan dengan mahkamah. Sebaik sahaja selepas pertikaian, kerajaan akan membuat bayaran kepada mereka," katanya.


Menteri Pembangunan Tanah itu memberi komen ekoran aduan daripada George Surang, seorang peneroka, bahawa 15,000 penduduk terlibat dengan projek Bakun yang masih belum diberi pampasan.

"Saya mengaku terdapat beberapa orang yang belum dibayar kerana tuntutan dan tuntutan balas sesama mereka. Oleh kerana pertikaian ini, kami tidak tahu siapa yang harus dibayar, jadi kami meletak wang itu di mahkamah," kata Masing.

Bagaimanapun katanya, bilangan asal penduduk yang terlibat ialah 10,000 dan bukan 15,000 sepertimana yang dilaporkan.

Mula kehidupan baru

Mengenai masalah yang dihadapi oleh para peneroka, Masing berkata kerajaan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka untuk memulakan kehidupan baru dalam kawasan penempatan semula.

Surang, seorang Kayan yang telah bekerja dengan projek empangan itu, merupakan salah seorang yang ditempatkan semula di Skim Penempatan Semula Sungai Asap.

Beliau berkata, beliau bekerja dengan projek itu apabila lubang pertama digerudi, menolong dalam perundingan dengan pihak berkuasa berkenaan rancangan penempatan semula pada 1996 dan hadir ketika pembinaan fizikal bermula dalam terowong-terowong pengalihan sungai.

Surang menambah, lembah Bakun, hutan tebal suatu ketika dahulu, merupakan sumber makanan, ikan dan air bersih kepada penduduk tetapi hari ini semuanya telah hilang.

Menurutnya, penduduk menghadapi masalah membayar ansuran rumah mereka di tapak penempatan semula dan untuk bekalan elektrik.

"Kini projek Bakun hampir siap dan pampasan kami belum dibayar," katanya, sambil mendesak pihak berkuasa segera membuat bayaran pampasan kerana mereka terpaksa meninggalkan ladang dan rumah panjang mereka. -Free Malaysia Today
Dikuasakan oleh Blogger.