Pasangan kekasih mengaku buang bayi
AYER KEROH, Melaka: Pasangan kekasih yang membuang bayi pada hari pertama umat Islam berpuasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.Lelaki terbabit yang berumur 18 tahun, bersama pasangannya berumur 17 tahun 10 bulan itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Fairuz Johari.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pesalah muda itu bersama-sama membuang seorang bayi perempuan di satu kawasan kilang di Ayer Keroh, pada 11 Ogos lalu, jam 1 pagi.
Kedua-dua remaja yang berasal dari Felda Jelai, Gemas itu didakwa di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ia sekali gus menjadikan mereka pasangan pertama yang didakwa mengikut Kanun keseksaan tidak seperti sebelum ini yang disabit kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazura Hamid dalam pendakwaannya menawarkan jaminan RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh.
Namun, kedua-dua pasangan memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan mereka daripada keluarga susah.
Mohd Fairuz kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh.
Majistret juga menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan untuk mendengar laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan pada hari sama.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sepasang kekasih mencemari suasana hening Subuh dengan membuang bayi ke dalam tong sampah setelah melahirkan bayi terbabit di dalam tandas di kilang tempat mereka bekerja di Ayer Keroh, di sini, jam 5.30 pagi.
Usaha mereka untuk ‘melenyapkan’ bayi terbabit gagal selepas bayi perempuan seberat 1.5 kilogram itu dijumpai pengawal keselamatan kilang berkenaan. -SH
Post a Comment