Nikah gantung: Mufti Pahang sokong saranan Pemuda PAS
WarkahDaily - Jika orang agama, penyelesaiannya mesti berdasarkan agama seperti apa yang diajar oleh Rasulullah kepada para sahabat baginda.
Setiap permasalahan yang ingin diselesaikan tidak dapat lari daripada cara Islam. Sebabnya kita adalah makhluk Allah, dicipta oleh Allah. Maka Allah tahu apa yang manusia yang dicipta-Nya itu perlukan.
Contoh mudah, pembuat kereta akan lebih tahu apa keperluan kereta yang direkanya. Dia lebih tahu apa yang perlu pada kereta, apa yang tidak perlu. Jadi, janganlah pulak kita tanya pembuat kapal terbang bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kereta.
Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya.
Nikah khitbah atau nikah gantung sesuai dilaksanakan terutama bagi mengatasi masalah buang bayi namun perlu diperincikan agar pasangan yang dinikahkan tidak bersikap menganiaya.Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, nikah gantung perlu dilihat sebagai alternatif menjauhkan remaja daripada terus bergelumang dosa kerana sudah mempunyai ikatan yang sah.
“Sebenarnya ibu bapa harus mengawal anak-anak, jika melihat mereka asyik berdua-duaan dan jalan terbaik mengahwinkan mereka supaya tahu tanggungjawab dari segi syariah serta berdikari mengukuhkan ekonomi.
“Jika kewangan yang menjadi sebab remaja kita lambat kahwin, badan-badan tertentu perlulah menjalankan tanggungjawab sosial dengan menganjurkan perkahwinan beramai-ramai menjimatkan kos,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas Pusat yang meminta kerajaan mempertimbangkan kaedah nikah gantung bagi membantu menyelesaikan masalah pergaulan dan seks bebas yang semakin parah sekarang.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, beliau mengesyorkan perkara itu bagi membantu golongan muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, jika pelaksanaan nikah gantung adalah jalan penyelesaian menangani masalah sosial, ia perlu diketengahkan.
“Islam mengharuskan perkahwinan di usia muda asalkan suami tahu tanggungjawabnya terhadap isteri dan tidak melepaskan kepada keluarga malah ada kalangan suami masih ditanggung ibu bapa jadi bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup berumah tangga.
“Perkahwinan dalam Islam adalah senang tetapi masyarakat kita yang menyusahkannya dengan pelbagai material sampingan daripada mengutamakan hukum berkahwin itu, Allah memberi ganjaran yang lebih kepada yang beristeri dari kewangan, kesabaran hikmahnya terlalu banyak,” katanya
Menurutnya, cadangan itu juga wajar tetapi yang lebih penting bagaimana cara untuk menjaga kehormatan dan tingkah laku agar tidak terpedaya dengan hasutan syaitan perlu diambil kira. -SH
Post a Comment