Header Ads

Maut kerana mercun: Pemantauan KDN lemah kerana sibuk pantau ‘musuh’ politik

WarkahDaily - Terlalu ‘galak’ memantau kegiatan ‘musuh’ politik sehingga terlupa penyeludupan mercun yang berleluasa. Bila dah nasi jadi bubur baru nak sibuk tubuh pasukan penyiasatlah apa lah.

Tapi kalau pasal akhbar, ceramah, aktiviti Pakatan Rakyat, tak payah suruh pun depa akan pantau, siap bagi amaran dan sekat permit lagi.

Kalau boleh menyebabkan kedudukan kuasa politik mereka tergugat, depa akan kerja siang malam berusaha untuk menyekat usaha itu. Tapi kalau takdak kesan apa-apa, depa buat tak tau aje, melainkan kalau dah terngadah. Kes letupan yang berlaku semalam di Kuala Terengganu telah menceritakan segala-galanya.

Padahal kes penyeludupan mercun itu pernah disiasat sebelum ini, tapi sekadar lepas batuk di tangga, pemantauan yang lemah dan penguatkuasaan sekadar di depan mata.



"Oleh sebab tidak ada dasar penggunaan mercun yang jelas maka kita menyaksikan berlakunya penjualan yang tidak terkawal, perdagangan dan penyeludupan mercun secara haram berleluasa," kata Yusmadi Yusof ketika dihubungi FMT hari ini.

Kementerian Dalam Negeri digesa mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan mercun terutama ketika musim perayaan.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, jika kerajaan memilih untuk tidak mengharamkan mercun maka kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mengenai penggunaan mercun.

"Tapi jika kerajaan gagal membendung penjualan mercun dan memantau penggunaan mercun dengan lebih ketat, maka haramkan sahaja penggunaan mercun.

"Telah banyak kejadian yang mengerikan dan menyayatkan hati berlaku di mana rakyat terutama kanak-kanak mengalami kecederaan seperti putus jari, berdarah di muka dan tangan hingga ada yang membawa kepada maut," ujar beliau.

Pemantauan yang lemah

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin juga berpendapat pemantauan yang lemah oleh pihak berkuasa terhadap penjualan mercun menjadi punca penjualan mercun begitu berleluasa di negara ini.

Katanya, sekarang ini peniaga mercun menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan terbuka tanpa berasa takut terhadap tindakan pihak berkuasa seperti dirampas mahupun ditangkap.

"Pihak berkuasa bukannya tidak nampak peniaga menjual mercun ataupun bunga api di kawasan terbuka tetapi mereka hanya tutup sebelah mata," terangnya.

Beliau menyeru pihak berkuasa, terutama polis dan kastam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih serius dalam menangani isu permasalahan mercun ini.

Beliau berkata, setiap keluarga yang bakal menyambut hari perayaan perlu memantau pergerakan anak-anak mereka dari terus bermain mercun bagi mengelak dari kecederaan dan kecacatan serta kematian akibat bermain mercun.

"Kalau ibu bapa pun membiarkan anak mereka bermain dan membeli mercun tanpa kawalan, bagaimana masalah ini dapat dihapuskan atau diselesaikan.

"Kaum keluarga sepatutnya tidak menggalakkan anak-anak bermain mercun tetapi sebaliknya memberi peringatan mengenai kes-kes yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar mahupun yang ditunjukkan di kaca TV," jelasnya.

Hari ini dalam akhbar tempatan melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut manakala dua lagi rakannya cedera parah setelah stor penyimpan mercun meletup di Kuala Terengganu.

Di Kedah pula, seorang murid tahun dua hampir putus jari kanan apabila mercun ditangannya meletup. -FMT
Dikuasakan oleh Blogger.