Header Ads

Liga Perdana Inggeris: Hangeland tangguh niat balas dendam Ferguson

LONDON: Gol tandukkan Brede Hangeland pada minit akhir permainan mengundang padah buat Manchester United apabila terlepas peluang untuk menang kerana hanya mampu seri 2-2 dengan Fulham di Craven Cottage.

United dilihat sudah berada diambang kemenangan sebaik saja dihadiahkan gol kedua oleh Hangeland yang menjaringkan gol sendiri ketika permainan berbaki tujuh minit.

Selang beberapa minit selepas itu, anak buah Sir Alex Ferguson sekali lagi memperoleh peluang menambah gol ketiga apabila bola terkena tangan Damien Duff di dalam kotak penalti tetapi malangnya Nani gagal menyempurnakannya.


Kealpaan barisan pemain United akhirnya memakan diri apabila Hangeland berjaya menebus kesilapannya menjaringkan gol sendiri dengan melakukan satu tandukan hebat untuk menewaskan Edwin van der Sar.

Pemain tengah disegani, Paul Scholes membuka jaringan pertama buat United pada minit ke-11 dengan satu rembatan jauh 25 ela sekaligus merekodkan gol ke-150 sepanjang kariernya bersama United.

Tetapi kegembiraan pasukan pelawat tidak lama kerana anak buah Hughes bingkas bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain tengah, Simon Davies.

Duff dan Hangeland yang melakukan kesilapan nyata tidak mudah mengalah malah berjaya menebus kesilapan dengan melakukan gerakan menarik antara kedua-dua mereka untuk menjaringkan gol penyamaan buat Fulham.

Duff melambungkan bola dari penjuru kanan dan Hangeland memperdaya pertahanan United dan menguis dengan satu tandukan menarik untuk menewaskan van der Sar. -PA Sports
Dikuasakan oleh Blogger.