Kerugian sebelum cukai Green Packet lebih tinggi sebanyak RM79.496 juta
Green Packet Bhd, penyedia perkhidmatan jalur lebar dan penyelesaian telekomunikasi, mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM79.496 juta bagi tempoh separuh tahun berakhir 30 Jun, 2010 berbanding RM50.126 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.Perolehan bagaimanapun melonjak kepada RM176.8 juta, berbanding RM97.959 juta sebelumnya, namun syarikat membuat perbelanjaan modal sebanyak RM517 juta sehingga akhir Jun.
Syarikat itu berkata perolehan yang meningkat itu adalah hasil daripada asas pelanggan yang lebih tinggi bagi perniagaan jalur lebar tanpa wayar, memperoleh pelanggan baharu untuk perniagaan penyelesaian dan peningkatan pendapatan menerusi perniagaan suara borong antarabangsa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat CC Puan berkata syarikat itu berada pada landasan untuk mencatat perolehan RM400 juta tahun ini.
Syarikat itu akan memperuntukkan RM500 juta untuk tempoh dua tahun akan datang bagi meningkatkan liputan jalur lebar kepada 65 peratus, katanya pada sidang media untuk mengumumkan keputusan kewangan syarikat pada hari Isnin.
"Daripada jumlah itu, RM150 juta akan digunakan untuk separuh kedua 2010," katanya yang menambah, ia sebahagian besarnya untuk meningkatkan kapasiti dan liputan.
Puan berkata jualan peranti kukuh pada separuh kedua ketika penugasan rangkaian WiMAX yang pesat berkembang di seluruh dunia.
"Kami mencari peluang di Amerika Utara, Timur Tengah dan Eropah bagi penyelesaian perisian dan perkakasan," katanya yang menambah, perniagaan luar negara kini menyumbang 40 peratus daripada perolehan syarikat.
Beliau berkata pada separuh pertama tahun ini, syarikat memberi tumpuan terhadap memenuhi komitmennya untuk menawarkan prestasi rangkaian yang baik dan kepuasan pelanggan dan berkhidmatan yang tinggi menerusi Packet One Networks (P1), perniagaan operator 4G WiMAX.
Puan juga berkata P1 mengakhiri suku kedua dengan langganan kumulatif berjumlah 196,000 dengan penambahan 21,000 pelanggan baharu pada suku berkenaan.
Liputan rangkaian juga meningkat, daripada 35 peratus liputan penduduk pada akhir tahun lepas kepada 40 peratus, dan selesa untuk mencecah 45 peratus menjelang akhir 2010.
"Kumpulan itu yakin mencapai 280,000 pelanggan menjelang 2010 menerusi promosi dan jualan yang agresif dan antara lain pengklompokan produk," katanya.
Beliau berkata usaha sama P1 dengan SK Telecom, syarikat telekomunikasi utama Korea, dijangka merangsang strateginya untuk mengoptimumkan prestasi rangkaian dan kepuasan pelanggan.
SK Telecom memperoleh 25.8 peratus kepentingan dan menyuntik RM323 juta dalam P1 dan akan terus menyediakan kepakaran teknikal dan operasi dan sumber. -Bernama
Post a Comment