Header Ads

Gunung berapi meletus selepas 400 tahun: Seorang maut, beribu-ribu lari

JAKARTA: Sebuah gunung berapi di pulau Sumatera meletup buat pertama kalinya dalam masa 400 tahun semalam, sekali gus meluahkan abu dan asap tebal ke udara, mengakibatkan ribuan penduduk lari meninggalkan rumah.

Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran merah selepas Gunung Sinabung meletup dan kawasan sekitar diselubungi asap hitam.

“Keadaan amat berbahaya. Jadi kami menaikkan amaran ke tahap tertinggi yakni paras merah,” kata Surono, ketua Pusat Amaran Bencana Gunung Berapi Indonesia.

“Daripada kawahnya, asap dan abu disemburkan 1,500 meter ke udara,” kata beliau kepada AFP.

“Pada mulanya kami sangka asap dan abu disebabkan hujan tetapi kini kami tahu ia akibat tekanan magma,” jelas beliau.


Gunung Sinabung yang setinggi 2,460 meter itu tidak meletup selama lebih 400 tahun tetapi sejak Jumaat lalu ia menunjukkan “kegiatan vulkanik” kata Surono.

Agensi Volkanologi menasihati penduduk yang tinggal dalam lingkungan enam kilometer dari gunung berkenaan supaya berpindah.

Sejauh ini sekitar 9,300 penduduk sudah dipindahkan dari beberapa kampung, termasuk Berastagi dan Kabanjahe, yang terletak di luar 'zon bahaya' kata pegawai pasukan menyelamat, Mohammad Agus Wibisono.
“Abu sudah merebak sejauh 30 kilometer dari gunung berapi berkenaan. Kebanyakan penduduk yang dipindahkan adalah petani yang berkata abu sudah menghujani kebun sayur mereka,' kata beliau.

Sejauh ini seorang dilaporkan mati, kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencama, Priyadi Kardono.

Menurut media setempat lelaki itu mati selepas sesak nafas semasa melarikan diri dari kampungnya.

Pegawai Daerah Karo, Andes Mbaga, memberitahu AFP bahawa beliau mati akibat sakit jantung.

Menurut Priyadi, ramai penduduk di empat kampung yang terjejas di kaki Gunung Sinabung sudah lari meninggalkan rumah masing-masing sebaik saja ia meletup.

“Ramai yang sudah lari sebelum diarah berpindah. Menurut mereka, gunung berapi itu meluahkan asap hitam yang tebal, batu-batu kecil dan belerang. Mereka ketakutan lalu berpindah ke bandar,” kata Priyadi.

Menurutnya pemerintah sudah mengagihkan 7,000 pelitup hidung kepada pelarian dan menyediakan dapur supaya penduduk boleh memasak makanan, kata beliau.

Penerbangan pesawat ke Medan, ibu kota wilayah Sumatera Utara, tidak terjejas oleh letupan Gunung Sinabung, kata jurucakap Kementerian pengangkutan, Bambang Ervan. -AP, AFP
Dikuasakan oleh Blogger.