Header Ads

Piala Dunia 2010: Perlawanan Jerman dan Uruguay misi selamat maruah

PORT ELIZABETH: Jerman dan Uruguay berharap dapat menyelamatkan maruah pasukan masing-masing apabila mereka bertemu dalam perlawanan penentuan tempat ke-3 awal pagi nanti (11 Julai – 2:30 pagi) setelah menerima kekalahan di saingan separuh akhir.

Kedua-dua pasukan sebelum ini dilihat calon untuk melangkah ke perlawanan akhir setelah mempamerkan aksi menakjubkan tetapi terpaksa akur apabila tersingkir ketika menentang Sepanyol dan Belanda dalam saingan separuh akhir lalu.

Barisan pemain muda Jerman kini bertekad untuk memenangi perlawanan terakhir mereka di Piala Dunia di Port Elizabeth di mana jurulatihnya, Joachim Loew berjanji kekecewaan lalu akan menjadikan pemainnya lebih bersedia untuk menang.

"Kekecewaan masih terasa tetapi kami perlu bangun semula," katanya selepas Jerman ditewaskan 1-0 di tangan Sepanyol Rabu lalu.

"Saya pasti memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan ini. Tiada siapa mahu terus bersedih dan kami mahu perlawanan terakhir ini menjadi yang terbaik," ujarnya lagi.

Sejarah tidak menyebelahi juara dua kali Piala Dunia, Uruguay dalam perlawanan ini setelah pasukan itu menamatkan tempat ke-4 dalam dua perlawanan separuh akhir sebelum ini, kalah kepada Austria pada tahun 1954 dan Jerman pada 1970.

Jerman pula menamatkan perlawanan di tempat ke-3 dalam tiga perlawanan dan hanya tewas sekali kepada Perancis pada tahun 1958.

Dua pemain tengah skuad Jerman dan Uruguay yang digantung perlawanan sebelum ini akan kembali beraksi setelah ketiadaan mereka ternyata memberi kesan kepada skuad masing-masing ketika perlawanan separuh akhir lalu.

Pemain tengah Jerman, Thomas Mueller akan disenaraikan dalam kesebelasan utama dan juga penyerang Uruguay, Luis Suarez yang digantung perlawanan setelah insiden bola tangannya.

Uruguay, yang tewas 3-2 kepada Belanda berkemungkinan tidak menurunkan Diego Forlan Sabtu ini ekoran kecederaan yang dialaminya dalam perlawan separuh akhir lalu.
Forlan, Mueller dan Miroslav Klose masing-masing telah menjaringkan empat gol setakat ini.

Mereka mempunyai peluang untuk merebut Kasut Emas jika menjaringkan dua gol lagi dan penyerang Sepanyol, David Villa serta pemain Belanda, Wesley Sneijder gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan akhir awal pagi Isnin (12 Julai – 2:30 pagi) nanti.

Sementara itu Forlan berkata, dia sangat teruja untuk bermain di perlawanan penentuan tempat ke-3 dan berharap dia serta skuadnya, Uruguay boleh memenangi perlawanan tersebut.

"Saya berharap saya cergas Sabtu ini. Saya sangat ingin bermain perlawanan ini. Malah, ia baik untuk semua orang," ujarnya lagi. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.