Header Ads

Pengubahan wang haram mengancam ekonomi negara

Pengubahan wang haram bukan sahaja menyebabkan kerosakan serius kepada integriti institusi kewangan yang tanpa disedari digunakan dalam membersih wang "kotor", malah juga mengancam kestabilan kewangan, ekonomi dan politik negara, kata Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM).

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim, berkata 'industri' pengubahan wang haram bernilai berbilion dolar ini merupakan ancaman yang sangat berbahaya.

Skala pengubahan wang haram global, katanya, dianggarkan berjumlah setinggi AS$3.0 trilion setahun, menjadikannya satu daripada kegiatan terutama dunia, berdasarkan nilai.

"Kita tidak boleh memandang remeh ancaman pengubahan wang haram ini kepada ekonomi dan keselamatan negara-neara," katanya pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Pengganas Antarabangsa 2010, di sini Isnin (19 Julai).

Memandangkan meluasnya kewujudan dan rangkaian kegiatan ini di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, institusi kewangan merupakan saluran berpotensi bagi pengaliran wang haram dan tidak sah ke dana-dana yang ditujukan kepada pengganas.

Menurut Azman, senario ini diperburukkan lagi oleh cetusan penularan krisis kewangan serantau dan global yang meningkatkan lagi risikonya.

Selain itu, katanya, teknik pembiayaan pengganas sentiasa berevolusi, menjadikannya sukar dikesan.

"Bagi kegiatan yang paling haram atau paling jenayah, tiada cara mudah untuk menghapuskan terus pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

"Melangkah ke hadapan, kita perlu belajar daripada apa yang tidak berkesan dan terus berusaha memerangi pengubahan wang haram dan rejim pembiayaan pengganas untuk mengatasi cabaran-cabaran ini," tegasnya.

Dalam kes Malaysia, kata Azman, lanskap pasaran modal kewangan disokong mantap oleh rangka kerja undang-undang dan kawal selia yang menyeluruh, yang bukan sekadar menganggap kegiatan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan sebagai jenayah serta mengenakan hukuman.

Beliau menegaskan institusi kewangan tempatan khususnya komited untuk mematuhi peruntukan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau juga berkata peserta industri membantu dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan serta Unit Risikan Kewangan di BNM sebagai pihak berkuasa yang kompeten dalam menyiasat kes-kes pengubahan wang haram dan jenayah kewangan.

Bagi IBBM, katanya, institut itu sedar bahawa semua kategori kakitangan institusi kewangan memerlukan latihan berterusan dalam mengguna pakai undang-undang berkaitan dan langkah-langkah pencegahan berhubung dengan pembanterasan pengubahan wang haram dan jenayah kewangan.

"Ini perlu kerana mereka perlu mendapatkan pengetahuan terkini tentang arah aliran dan perkembangan pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang baharu," katanya.

Kata beliau IBBM telah menubuhkan Kumpulan Perangkaian Pengurus Risiko pada 2000 dan Kumpulan Perangkaian Pegawai Pematuhan pada 2001 untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman selanjutnya dalam bidang operasi masing-masing. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.