Header Ads

Malaysia dan Indonesia bersedia tawarkan diri tuan rumah Piala Dunia

Malaysia dan Indonesia bersedia untuk menawarkan diri menjadi tuan rumah bersama Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil dan kedua-dua negara akan berusaha ke arah itu.

Sambil mengalu-alukan idea tersebut, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi sebuah meja khusus yang akan ditubuhkan, masing-masing di kementeriannya dan Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia.

"Idea (tuan rumah bersama) ini patut dikembangkan dan disemai bagi penganjuran kejohanan-kejohanan besar satu masa nanti kerana dalam konteks jarak perjalanan bukan lagi satu isu yang besar.

"Tidak mustahil diadakan bukan sahaja Piala Dunia tetapi apa-apa (kejohanan) yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Dr. Ardi Malaranggeng di Putrajaya semalam.

Dr. Ardi berada di negara ini sempena program titian muhibah yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Sebelum ini, hasrat Indonesia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 gagal setelah pencalonan mereka ditolak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, persoalan sekarang ialah bagi membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang boleh memberikan saingan pada peringkat antarabangsa.

"Bagaimana untuk membangunkan bola sepak supaya Malaysia dan Indonesia serta pasukan Asia Tenggara dilihat sebagai negara yang dihormati dari segi kekuatan.

"Sekarang orang melihat negara-negara Eropah dan Amerika Latin. Kalau Asia (mereka lihat pasukan) dari Timur Tengah, Korea Selatan atau Jepun sahaja," katanya.

Justeru, Ahmad Shabery berkata, sebagai permulaan ke arah membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap, beliau mencadangkan agar liga bola sepak di Malaysia dan Indonesia diper- luaskan dengan membabitkan penyertaan daripada kelab-kelab di kedua-dua negara berkenaan. -Bernama

kredit: Kosmo!

WarkahDaily - Ada duit ke tu?
Dikuasakan oleh Blogger.