Header Ads

Korek pasir secara rakus mendatangkan kebimbangan pemilik tanah

REMBAU: Projek mengorek pasir yang giat dilakukan di Kampung Pelebar Luar, Pilin, menimbulkan kebimbangan dan keraguan kepada salah seorang pemilik tanah terbabit.

Abdul Razak Alias, 51, berkata, kerja mengorek pasir berhampiran dengan tanah miliknya menyebabkan berlaku hakisan dan runtuhan tebing.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangannya kerana keluasan tanah miliknya akan berkurangan daripada sebelum ini jika tindakan segera tidak diambil.

“Pihak yang bertanggungjawab dalam projek ini bertindak rakus sehingga tanah milik saya juga turut menjadi mangsa.

(Gambar hiasan: Kerakusan korek pasir yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan boleh membawa pencerobohan kawasan sekitar)

“Sepatutnya mereka memahami syarat kerja mengorek pasir tetapi disebabkan kurang pemantauan rapi, kini kawasan tanah milik saya pula terbabit sama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, tanah seluas 3.2 hektar itu kini dibersihkan untuk projek tanaman getah dan gaharu tetapi pihaknya khuatir jika keadaan itu dibiarkan begitu sahaja, ia memberi kesan bagi jangka masa panjang.

“Rumah ibu saya berhampiran dengan kawasan ini. Jika tidak dibendung, tidak mustahil berlaku runtuhan yang lebih dahsyat daripada sebelum ini.

“Justeru, pihak berkenaan diingatkan supaya jangan bersikap mementingkan diri sehingga menyusahkan orang lain,” katanya.

Menurutnya, kerja mengorek pasir itu juga berhampiran jambatan dan dibimbangkan hakisan akan menyebabkan kemudahan yang menggunakan kos tinggi itu akan runtuh, sekali gus membahayakan pengguna.

“Saya berharap pihak berkenaan memantau kegiatan kerja mengorek pasir ini bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

“Pastikan kerja mengorek pasir ini mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Peguatkuasaan dan Hasil, Enny Suhailis Suleiman ketika dihubungi berkata, projek mengorek pasir yang beroperasi sejak Mei lalu sehingga kini di kawasan berkenaan mendapat permit sah daripada pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Tidak timbul isu projek yang dijalankan adalah haram. Pihak pengadu yang tidak berpuas hati boleh menghantar surat kepada Pejabat Tanah Daerah Rembau dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Rembau untuk tindakan lanjut,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.