Ashley Cole hampir pasti ke Real Madrid musim depan
LONDON: Ashley Cole dijangka mengakhiri penderitaannya di England dengan pemindahan £30 juta (RM136 juta) ke Real Madrid.Cole, 29 tahun, seorang pemain pertahanan, kelihatan pasti menyertai semula bekas bos Chelsea, Jose Mourinho, di Bernabeu.
Penjaga gawang Real, Iker Casillas, yang memainkan peranan besar membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia, mendedahkan, "Daripada apa yang saya dengar, tanda-tandanya adalah baik.
"Saya hanya bercakap sepintas lalu dengan para pegawai kelab tetapi saya yakin beliau boleh menjadi pemain Real Madrid musim akan datang.
"Secara peribadi atau profesional, saya berpendapat ia merupakan pemindahan yang baik baginya."
Pemain bek kiri Chelsea itu menjadi orang yang dibenci sejak beliau bercerai dengan isterinya, Cheryl. Mesejnya kepada rakan-rakannya pula mendedahkan bahawa beliau benci England dan masyarakatnya.
Mourinholah orangnya yang mendapatkan Cole untuk Chelsea daripada Arsenal pada 2006.
Casillas, 29 tahun, juga penjaga gawang Sepanyol, menambah, "Nampaknya, beliau berminat mahu berpindah dari England. Ia merupakan kontrak besar yang terakhir baginya dan tiada yang lebih baik daripada menyertai semula jurulatih lamanya, Jose, di Real.
"Beliau lebih tahu daripada sesiapa pun bahawa kelab ini akan berjaya di bawah jurulatih dari Portugal itu. Jose telah membuktikan beliau membeli pemain dan menjadikannya pemain terbaik di dunia di posisinya.
"Bagi Ashley, beliau tidak perlu melakukannya kerana beliau telah pun merupakan bek kiri yang terbaik di dunia.
"Jose juga tahu segala-galanya tentang Ashley dan tidak memeranjatkan jika pemain itu menjadi sasaran Real."
Dalam perkembangan lain, Real sudah tidak berminat mahu mendapatkan kapten Liverpool dan England, Steven Gerrard.
Demikian menurut konsultan kelab gergasi Sepanyol itu, Ernesto Bronzetti.
Gerrard, 30 tahun, sebelum ini dipercayai menjadi sasaran Mourinho, yang pernah cuba mendapatkan bintang midfield England itu untuk Chelsea pada 2005.
Tetapi Bronzetti berkata presiden Real, Florentino Perez, memutuskan tidak lagi mahu memburu Gerrard kerana menganggap wang yang akan dibelanjakan tidak akan berbaloi.
"Kaka akan kekal di Real tetapi presiden itu tidak bersetuju untuk mendapatkan Gerrard kerana usianya telah menjangkau 30 tahun," Bronzetti memberitahu GR Parlamento.
"Tambahan pula, Liverpool meminta bayaran pemindahan £58 juta."
Bronzetti juga percaya Real telah membatalkan niat mahu mendapatkan bek kanan Inter Milan, Maicon, kerana Mourinho gembira dengan peranan bek kanan Real yang sedia ada, Sergio Ramos.
"Mourinho kini yakin dapat mengekalkan Ramos sebagai bek kanan dan kini beliau mahu bek tengah atau pemain midfield seperti Gerrard," tambahnya. -Soccernet
Post a Comment